AKTIVITI fizikal mampu menyihatkan tubuh.
AKTIVITI fizikal mampu menyihatkan tubuh.

Kajian terbaru di seluruh rantau Asia Pasifik yang dijalankan Herbalife, sebuah syarikat nutrisi global, mendapati kebanyakan orang percaya pilihan makanan dan gaya hidup mempengaruhi tahap kesihatan seseorang secara menyeluruh.

Bagaimanapun, alasan tidak mempunyai masa yang cukup menjadi halangan terbesar kepada ramai untuk mencapai niat menjalani kehidupan lebih aktif seterusnya lebih sihat.

Malah, kajian sama turut mendapati hanya 50 peratus rakyat di negara ini bersedia menghabiskan sekitar 10 hingga 30 minit sehari untuk mengubah gaya hidup kepada cara lebih sihat.

Kajian dijalankan sempena Lawatan Kesejahteraan Asia Tenggara Herbalife itu membabitkan 1,200 responden meliputi enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Australia, Filipina, Korea Selatan dan Thailand, bagi memahami persepsi orang ramai terhadap kesihatan dan gaya hidup terkini mereka.

Menurut kajian itu, tujuh daripada 10 responden di Malaysia menunjukkan mereka berasa bimbang mengenai risiko penyakit yang dikaitkan dengan gaya hidup tidak sihat.

Pada masa sama kajian itu mendapati sembilan daripada 10 percaya nutrisi cukup diselarikan dengan senaman mampu memperbaiki tahap kesihatan dalam jangka panjang.

Secara tidak langsung, kajian itu membuktikan majoriti rakyat di negara ini mempunyai kesedaran mengenai impak gaya hidup positif dan aktif kepada hidup mereka, malah kesihatan bertambah baik dengan perubahan ringkas pada pemakanan yang mereka ambil.

Bagaimanapun, kajian terbabit mendapati biarpun mereka memiliki tahap kesedaran tinggi, ia tidak mendorong amalan gaya hidup dan pemakanan sihat sebaliknya kebanyakan responden menjadikan kekangan masa sebagai sebab utama yang menghalang mereka daripada menjalani kehidupan lebih sihat.

Seramai 74 peratus menyatakan kekangan masa untuk bersenam manakala 45 peratus lagi menyatakan mereka tidak sempat menyediakan makanan dengan nutrisi cukup setiap hari.

Bagaimanapun, sekitar 24 peratus menyatakan kesediaan mereka untuk menghabiskan antara 30 hingga 60 minit untuk mencapai gaya hidup lebih sihat.

Selain itu, lapan daripada 10 responden mengatakan mereka memerlukan pengetahuan lebih mendalam langkah yang praktikal untuk membantu mereka menjalani kehidupan lebih sihat.

Pengurus Kanan Sub Rantau Herbalife Malaysia dan Singapura, Sridhar Rajagopalan berkata, hasil kajian itu menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia yang mempunyai pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan, malah sedar mereka perlu membuat perubahan dalam hidup demi kesihatan dalam jangka panjang.

“Biarpun kekangan masa untuk bersenam dan memupuk tabiat pengambilan nutrisi menjadi topik utama dalam kalangan responden, kami berharap dapat memainkan peranan lebih besar memberi kesedaran bahawa gaya hidup sihat tidak sukar untuk dicapai.

“Hanya dengan masa sesingkat 10 minit sehari, mereka boleh melangkah secara berperingkat untuk membina gaya hidup lebih aktif dan mengamalkan pengambilan nutrisi lengkap, sekali gus memberi impak positif kepada kesihatan mereka secara menyeluruh dalam jangka panjang,” katanya.

Disasarkan dalam usaha meningkatkan pengetahuan mengenai gaya hidup sihat, Herbalife melancarkan acara Lawatan Kesejahteraan Asia Tenggara Herbalife pada 5 Oktober lalu.

Acara itu menyaksikan penyertaan kira-kira 60,000 orang di seluruh rantau Asia Pasifik serta pakar nutrisi Herbalife yang berkongsi tip dan pandangan mengenai cara mengubah kepada gaya hidup lebih sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 9:34 AM