FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Ankara: Tidak mandi dan gosok gigi antara punca seorang wanita di Turkiye, menuntut cerai daripada suaminya.

Kes jarang jumpa itu meraih perhatian apabila dibicarakan di Mahkamah Keluarga ke-19 di Ankara, baru-baru ini.

Wanita itu yang menetap di Anatolia mendakwa, sebab utama perceraian itu ialah kerana suaminya tidak mandi selama berhari-hari dan menggosok gigi hanya sekali atau dua kali seminggu.

Malah katanya, lelaki itu hanya menggunakan semula pakaian sama sehingga lima hari.

Mahkamah menganggap lelaki itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkahwinan mereka.

Selepas meneliti hujahan dua pihak, mahkamah membenarkan tuntutan perceraian wanita itu serta memerintahkan lelaki itu membayar 500,000 lira Turki (RM77,878) sebagai pampasan kepada bekas isterinya.

Keputusan itu dianggap sah dari segi undang-undang oleh Mahkamah Keadilan Wilayah, malah mendapat kelulusan akhir daripada Jabatan Kedua Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan memutuskan, suami itu sebagai pihak yang mengabaikan kebersihan diri dan mengeluarkan bau badan, menanggung kesalahan sepenuhnya atas keadaan yang membawa kepada perceraian, manakala isterinya didapati tidak bersalah.

Keputusan penting ini menjelaskan kepentingan kebersihan diri dalam hubungan suami isteri.

Ia menjadi contoh apabila pengabaian sedemikian memberi kesan kepada kesejahteraan keseluruhan hubungan rumah tangga.

Pampasan yang diberikan sebagai komitmen mahkamah untuk menangani isu di luar alasan tradisional untuk perceraian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 12:24 PM