Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, semalam menolak permohonan bekas Ratu Cantik Malaysia Puan Sri Pauline Chai Siew Phin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian difailkan suaminya jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan Chai selepas mendapati dia tidak mempunyai merit.

Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutuskan mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu, kekal.

Hakim Balia dalam keputusannya berkata, kaedah undang-undang lazim yang menetapkan tempat bermastautin isteri mesti mengikut tempat bermastautin suami adalah sah di sisi perlembagaan dan masih terpakai di Malaysia.

Turut bersidang adalah Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Mahkamah juga memerintahkan Chai membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Khoo.

Chai, 68, bekas Ratu Cantik Malaysia/Antarabangsa 1969, mahu memohon kes perceraian mereka dijalankan di mahkamah di England atas alasan dia tidak lagi bermastautin di Malaysia sejak 1980.

Bagaimanapun, Khoo, 75, mahu mengemukakan prosiding perceraian mereka di sini.

Pada 28 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian difailkan Khoo.

Pada Februari 2013, Chai memfailkan petisyen perceraian di sebuah mahkamah di London menuntut pampasan perceraian sebanyak 500 juta pound (RM2.75 bilion) sebagai penyelesaian.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1970 dan mempunyai lima anak yang sudah dewasa.

Khoo diwakili peguam Datuk Dr CV Das manakala Chai diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:05 AM