Adira Suhaimi. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Adira Suhaimi. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Peguam syarie suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Adnan Abu menegaskan anak guamnya tetap mahu mempertahankan rumah tangga mereka meskipun kini sedang dalam proses perceraian.

Peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan yang mewakili anak guamnya itu memaklumkan Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 42, masih menyayangi isterinya itu.

"Anak guamnya saya masih lagi mahu mengekalkan hubungan suami isteri. Dia sayangkan isterinya."Dia mahu pertahankan rumah tangga. Tiada pihak yang mahu bercerai," katanya.

Difahamkan, Red melantik seorang rakan baik sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Pasangan ini bagaimanapun tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor untuk proses lantikan JKP yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Abdul Hadi Omar pagi tadi.

Sementara itu, Akmal turut menegaskan anak guamnya juga tidak pernah berniat untuk melengahkan prosiding mahkamah yang berlangsung sebelum ini.

"Mengikut undang-undang penyelesaian JKP dalam tempoh enam bulan. Pihak sana bantah sebab agak lama, namun mahkamah benarkan untuk tiga bulan.

"Mahkamah hanya maklumkan jangan lengahkan masa," katanya.

Dalam prosiding yang berlangsung pada 4 Disember lalu, hakim menegur Red kerana masih belum melantik mana-mana wakil JKP dan dianggap sengaja melengah-lengahkan proses berkenaan.

Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, memfailkan perceraian terhadap suaminya iaitu Red pada 25 Oktober lalu atas alasan tiada lagi persefahaman.

Permohonan tersebut adalah kali kedua dibuat terhadap suaminya selepas memfailkan tuntutan sama pada 1 April 2019.

Untuk rekod, Adira dan Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 7:07 PM