GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

London: Universiti Oxford pada Isnin melancarkan ujian dengan menjangkitkan semula virus Covid-19 kepada bekas pesakit yang sudah sembuh daripada virus itu.

Kajian terkawal itu dibuat untuk menilai tahap jenis imunisasi yang akan bertindak balas dalam badan sukarelawan.

"Saintis akan mengetahui dengan jelas bila jangkitan kedua itu akan berlaku dan jumlah virus yang diperoleh," kata Helen McShane, seorang profesor vaksin dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kajian itu akan membantu pihaknya mencipta ujian yang mampu mengukur dengan lebih tepat sama ada seseorang itu dilindungi selepas jangkitan virus berkenaan.

Sesiapa yang mengalami gejala akan menerima rawatan antibodi Regeneron yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Kajian itu memilih 64 sukarelawan berusia 18 hingga 30 tahun yang akan dijangkiti semula virus varian Wuhan.

Ujian yang pertama kali dijalankan ini mendapat dana daripada Yayasan Amanah Wellcome.

Sukarelawan akan dikuarantin selama 17 hari dalam sebuah hospital khas yang memiliki mesin imbasan paru-paru dan jantung.

Selain itu, sukarelawan juga akan dipantau selama setahun.

"Kajian ini mempunyai potensi untuk menukar pemahaman kami dengan menyediakan data berkualiti tinggi," kata Shobana Balasingan, Penasihat Penyelidikan Vaksin Kanan di Yayasan Amanah Wellcome.

Fasa ujian ini akan melihat bagaimana dos minimum yang boleh membenarkan virus untuk merebak tanpa gejala kepada separuh daripada sukarelawan.

Dalam fasa kedua pula, kumpulan berlainan akan menerima dos minimum yang lebih stabil.

Kajian ini dijalankan di hospital di London dengan sekumpulan sukarelawan diasingkan sebelum virus didedahkan kepada mereka.

Rancangan kajian ini dijalankan bermula Mac lalu dengan kolaborasi antara Kolej Imperial London dan syarikat hVIVO di Hospital Diraja London.

Mereka yang sudah dijangkiti akan dipantau sepenuhnya untuk melihat perkembangan jangkitan dialami mereka dan bagaimana ubat dan vaksin mampu melawan virus berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:01 AM