ORANG ramai berjalan di sebuah stesen kereta api di London pada Disember tahun lalu. FOTO Reuters
ORANG ramai berjalan di sebuah stesen kereta api di London pada Disember tahun lalu. FOTO Reuters
Reuters

London: Varian Omicron kurang kemungkinan menyebabkan long Covid berbanding varian sebelumnya, menurut kajian King's College London, United Kingdom (UK).

Penyelidik menggunakan data daripada aplikasi kajian Zoe Covid Symptom, mendapati kemungkinan pesakit mendapat long Covid selepas jangkitan adalah 20 peratus hingga 50 peratus lebih rendah ketika gelombang Omicron di UK berbanding Delta.

Angka itu berbeza-beza bergantung umur pesakit dan masa vaksinasi terakhir.

Long Covid merangkumi simptom berpanjangan daripada keletihan hingga 'kabut otak', boleh melemahkan dan berterusan selama beberapa minggu atau bulan.

Ia semakin diiktiraf sebagai masalah kesihatan awam dan penyelidik berlumba-lumba untuk mengetahui sama ada Omicron menimbulkan risiko long Covid seperti varian yang dominan sebelum ini.

Kajian semakan rakan sebaya itu dipercayai adalah penyelidikan akademik pertama yang menunjukkan Omicron tidak menunjukkan risiko long Covid, kata pasukan itu.

Walaupun risiko long Covid lebih rendah ketika Omicron, lebih ramai orang dijangkiti, jadi jumlah mutlak yang terkesan kini lebih tinggi.

"Ini berita baik tetapi tolong jangan hentikan mana-mana perkhidmatan merawat Long Covid anda," kata ketua penyelidik, Dr Claire Steves kepada Reuters, sambil merayu kepada penyedia perkhidmatan kesihatan.

Menurut Pejabat Perangkaan Kebangsaan UK, seramai 438,000 pesakit di negara itu mempunyai simptom long Covid selepas jangkitan Omicron pada Mei, mewakili 24 peratus daripada semua pesakit long Covid.

Ia juga berkata risiko gejala berlarutan selepas Omicron adalah lebih rendah berbanding Delta, tetapi hanya untuk orang yang diberi vaksin dua kali.

Ia mendapati tiada perbezaan statistik bagi mereka yang diberi vaksin dos penggalak.

Dalam penyelidikan King's College London, 4.5 peratus daripada 56,003 pesakit ketika kemuncak Omicron untuk tempoh Disember 2021 hingga Mac 2022 melaporkan long Covid, berbanding 10.8 peratus daripada 41,361 orang ketika gelombang Delta, pada Jun hingga November 2021.

Kajian itu tidak membandingkan individu yang divaksinasi dan tidak divaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 11:32 AM