GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
AFP

Paris: Individu menerima vaksin Covid-19 dan mendapat suntikan dos penggalak pulih tiga hari lebih awal daripada gejala varian Omicron berbanding mereka yang dijangkiti varian Delta, menurut satu kajian pada Jumaat.

Kajian itu juga mendapati individu yang dijangkiti varian Omicron berkemungkinan kurang kehilangan deria bau dan tahap gejala yang dialami mereka kurang teruk.

Laporan kajian itu berdasarkan dapatan penyelidik menggunakan aplikasi, ZOE apabila lebih 63,000 individu lengkap vaksin berusia antara 16 hingga 99 tahun di Britain melaporkan simptom Covid-19 yang menjangkiti mereka antara Jun 2021 dan Januari tahun lalu.

Bagi mereka yang mempunyai dua dos vaksin Covid-19 serta penggalak, simptom daripada Omicron berlangsung selama purata 4.4 hari, berbanding 7.7 untuk Delta - perbezaan 3.3 hari.

Individu yang mempunyai dua dos vaksin Covid-19 tetapi tiada suntikan dos penggalak didapati gejala jangkitan varian Omicron hilang dalam 8.3 hari, berbanding 9.6 hari untuk varian Delta, menurut kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Lancet.

Penyelidik dalam kajian itu memberitahu, pemulihan yang lebih pantas memperlihatkan tempoh penularan wabak itu mungkin lebih pendek, seterusnya memberi kesan kepada dasar kesihatan di tempat kerja dan panduan kesihatan awam.

Kajian yang akan dibentangkan di Kongres Eropah Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit di Lisbon akhir bulan ini juga mendapati hanya 17 peratus daripada mereka yang dijangkiti varian Omicron kehilangan deria bau, berbanding 53 peratus penghidap varian Delta.

Bagaimanapun, individu positif varian Omicron mempunyai 55 peratus peningkatan risiko mendapat sakit tekak dan 24 peratus lebih berkemungkinan untuk mengalami suara serak.

Kajian itu juga mendapati pesakit varian Omicron kurang 25 peratus kemungkinan dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Penulis laporan penyelidikan itu, Cristina Menni dari King's College London berkata, sesi peer-review pertama bagi laporan berkenaan membabitkan sejumlah besar individu untuk melihat perbezaan gejala daripada dua varian Covid-19 itu.

Walaupun kajian itu sebelum munculnya varian Omicron BA.2 di dunia, Cristina menjelaskan data terkini daripada aplikasi ZOE menunjukkan tiada perubahan membabitkan gejala varian Omicron BA.2 berbanding BA.1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 10:30 AM