BARISAN model
BARISAN model
Oleh Hafiz Ithnin


Menjadi pereka fesyen bukan sahaja perlu bijak untuk mencipta sebuah karya busana yang menarik perhatian, tetapi ia juga perlu seiring dengan sebuah inspirasi yang diterokai supaya hasilnya bukan cantik semata-mata, malah mempunyai makna tersendiri.

Begitu juga dengan hasil sentuhan pereka muda berusia 25 tahun berasal dari Klang, Selangor ini yang menerokai inspirasi daripada proses seni bina dari negara matahari terbit, Jepun.

Raja Muhammad Irfan Raja Muhammad Reduan berkata, koleksi kapsul yang dihasilkannya mendapat inspirasi seni dari Jepun, Kintsugi iaitu memperbaiki rekahan dan retakan menggunakan emas atau logam yang berharga.

Jelasnya, ia membuatkan hasil rekahan dan retakan yang berlaku sebelum ini menjadi bahagian yang lebih indah dan unik. Sekali gus menghargai keunikan setiap kerosakan.

"Falsafah di sebalik Kintsugi adalah untuk meraikan keindahan dalam ketidaksempurnaan. Konsep ini mengajar kita bahawa apabila sesuatu itu sudah rosak atau tidak sempurna, kita mampu untuk memperlihatkan keindahan di dalam apabila sesuatu objek yang rosak dapat dibaiki.

"Sama juga dalam kehidupan seharian, jika ada masalah atau halangan yang berlaku, pasti sentiasa ada perkara yang boleh kita raikan di sebaliknya," katanya.

Katanya, penghasilan koleksi kapsul itu mengambil masa kira-kira enam bulan termasuk proses pencarian idea, tema, kategori pakaian, idea pembangunan serta penghasilan produk. Setiap lakaran dan kembangan idea yang dilakukan akan diolah untuk menghasilkan rekaan akhir.

"Selepas rekaan akhir dipilih, bermula proses pembuatan sampel, eksperimen fabrik dan proses jahitan. Hampir 70 peratus daripada pembuatan rekaan akhir ini menggunakan proses 'draping' pada patung untuk mendapatkan struktur rekaan yang tepat," katanya.

Tambahnya, pemilihan warna diambil terus daripada inspirasi Kintsugi iaitu emas dan hitam. Pilihan warna emas menjadi warna utama untuk mengetengahkan keindahan dan kemegahan warna itu tersendiri.

MUHAMMAD Irfan menyiapkan model untuk memperagakan koleksi kapsulnya.
MUHAMMAD Irfan menyiapkan model untuk memperagakan koleksi kapsulnya.

"Warna emas ini juga adalah warna utama dalam seni memperbaiki Kintsugi, mendorong pemilihan warna ini menjadi warna utama dalam koleksi kapsul ini.

"Corak di atas setiap helaian pakaian dalam koleksi kapsul pula adalah inspirasi daripada rekahan dan retakan dalam seni memperbaiki, Kintsugi itu sendiri. Setiap corak rekahan dan retakan itu dilukis menggunakan cat akrilik secara rawak meniru corak rekahan dalam Kintsugi, diikuti dengan penambahan corak menggunakan teknik percikan secara rawak untuk menunjukkan tidak sempurna dalam sesuatu garis dan corak. Seterusnya diakhiri dengan meletakkan kepingan emas atas corak untuk meningkatkan motif rekahan berkenaan," katanya.

Jelasnya, pemilihan warna hitam pula adalah untuk menyerlahkan padanan warna emas yang dilukis atas fabrik kanvas kapas berkenaan kerana tekstur yang mudah dilukis dan dicat atas permukaan.

"Cabaran menghasilkan koleksi kapsul ini adalah untuk mendapatkan bebayang dan bentuk struktur rekaan yang tepat.

"Beberapa sampel 'dilaksanakan' sebelum berjaya mendapatkan bentuk dan bebayang yang tepat mengikut rekaan akhir yang dipilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 8:44 AM