GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

Washington: Percubaan perubatan pertama di dunia yang diberi kuasa untuk mendedahkan peserta secara sengaja kepada koronavirus sedang mencari lebih ramai sukarelawan.

Ia dalam meningkatkan usaha untuk membantu membangunkan vaksin yang lebih baik.

Percubaan Universiti Oxford dilancarkan April lalu, tiga bulan selepas Britain menjadi negara pertama yang meluluskan ujian klinikal terhadap manusia yang membabitkan diri dengan virus Covid-19.

Fasa pertama masih berterusan, memfokuskan untuk mengetahui berapa banyak virus yang diperlukan untuk mencetuskan jangkitan, manakala fasa kedua bertujuan menentukan tindak balas imun yang diperlukan untuk menangkisnya, kata universiti itu dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Penyelidik hampir menemui jangkitan virus yang paling lemah memastikan kira-kira separuh daripada orang yang terdedah kepadanya mendapat Covid-19 tanpa gejala atau ringan.

Mereka kemudian merancang untuk mendedahkan sukarelawan yang semuanya sebelum ini dijangkiti secara semula jadi atau divaksinasi kepada dos varian asal virus itu untuk menentukan tahap antibodi atau sel T imun yang diperlukan untuk mencegah jangkitan.

"Ini adalah tindak balas imun yang kemudiannya perlu kita dorong dengan vaksin baharu," kata Helen McShane, Profesor Vaksinologi Universiti Oxford dan ketua penyiasat kajian itu.

Keputusan ujian percubaan akan membantu pembangunan vaksin masa depan lebih cepat dan cekap, kata kenyataan itu.

Pakar imunologi global juga berusaha untuk menentukan tindak balas imun yang mesti dihasilkan oleh vaksin untuk melindungi daripada penyakit itu.

Selepas ditemui, keperluan untuk ujian vaksin secara besar-besaran sangat berkurangan.

Saintis menggunakan ujian klinikal terhadap manusia selama beberapa dekad untuk membangunkan rawatan terhadap banyak penyakit berjangkit, tetapi ini adalah penyelidikan pertama yang diketahui seumpama itu terhadap Covid-19.

Kelemahannya ialah risiko bahaya kepada sukarelawan yang dijangkiti penyakit itu tetapi pihak universiti mengambil langkah berjaga-jaga.

Peserta perlu sihat dan berumur 18 hingga 30 tahun.

Mereka akan dikuarantin sekurang-kurangnya 17 hari dan sesiapa yang mengalami gejala akan diberi rawatan antibodi monoklonal Regeneron Ronapreve.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 12:13 PM