Pep Guardiola
Pep Guardiola
AFP

London: Pep Guardiola berkata beliau memberikan satu "penghormatan besar" untuk Erik ten Hag selepas musim yang mengerikan untuk Manchester United walaupun Manchester City dalam misi mahu mencipta sejarah pada final Piala FA pada hari ini.

City sedang meraikan gelaran kejuaraan empat kali berturut-turut dalam liga tertinggi Inggeris dan akan menjadi pasukan pertama yang memenangi liga dan Piala FA dalam dua musim berturut-turut jika mereka menewaskan United di Wembley.

Pasukan Guardiola akan memulakan perlawanan sebagai pilihan utama menentang United, yang sudah kalah enam daripada tujuh pertemuan terakhir mereka seterusnya menduduki tempat kelapan dalam Liga Perdana.

Ten Hag berjuang untuk mengelakkan pemecatan selepas kempen buruk United, dengan jurulatih England Gareth Southgate dan bos Ipswich Kieran McKenna antara nama pengurus yang dikaitkan akan ke Old Trafford dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Tetapi Guardiola bersimpati dengan Ten Hag selepas musim keduanya dipenuhi dengan kecederaan membelenggu sekumpulan pemain utama.

"Di kelab besar seperti United dan City, apabila anda tidak menang, anda sentiasa dalam masalah. Itu bukan rahsia," kata Guardiola pada sidang akhbar pra-perlawanan beliau pada hari Jumaat.

"Saya mempunyai penghormatan besar terhadap tugasnya pada masa lalu, dan kini di United. Saya benar-benar bersetuju apabila mendengarnya berkata mereka tidak mempunyai skuad penuh dan ramai pemain cedera.

"Mereka mempunyai banyak masalah dan apabila itu berlaku, pengurus banyak menderita kerana skuad mereka sebenarnya bagus. Masalahnya apabila anda cedera, anda tidak boleh menggunakan mereka dan ini adalah kelemahan besar."

Guardiola berkata walaupun rekod mengagumkan pasukannya baru-baru ini menentang United, dia tidak akan mengambil mudah mereka dalam ulangan final Piala FA yang dimenangi City 2-1 musim lalu.

"United sentiasa United," katanya. "Sudah tentu dalam Liga Perdana, kami lebih baik daripada mereka, kami lebih konsisten daripada mereka.

"Tetapi satu perlawanan, terutama United musim ini menentang enam teratas, perlawanan penting, mereka sentiasa beraksi dengan baik jadi kami bercakap, para pemain merasakannya, para pemain tahu itu -itu akan menjadi perlawanan yang sangat berbeza," katanya.

Guardiola berkata, peluang untuk memenangi lebih banyak trofi sudah cukup sebagai motivasi untuknya, tanpa mengira akan mencipta sejarah untuk pasukan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 8:56 AM