Sophie Arissa Mohamad Naim
Sophie Arissa Mohamad Naim
Oleh Hafiz Ithnin


Meskipun tampak lasak, gadis genit berusia sembilan tahun ini sebenarnya mempunyai sisi masih gemarkan permainan anak patung dan memasak.

Namun, ketika di trek perlumbaan, Sophie Arissa Mohamad Naim atau lebih mesra dan popular dikenali sebagai Jelita, aksinya bersaing di pentas motocross begitu membanggakan.

Lawannya pula bukan seusia atau sama jantina kerana terdapat kategori kanak-kanak yang menghimpunkan lelaki dan perempuan untuk bersaing serta di bawah 12 tahun sahaja.

Ertinya, walaupun Jelita baharu berusia sembilan tahun, dia perlu bersaing dengan pelumba kanak-kanak yang lebih berusia di bawah kategori kanak-kanak.

AKSI Jelita yang berani ketika perlumbaan tidak dapat disangkal lagi.
AKSI Jelita yang berani ketika perlumbaan tidak dapat disangkal lagi.

Berkesempatan menemu bual ibunya, Nur Ain Azrina Mohd Alias yang mengakui, sebenarnya Jelita didedahkan dengan aksi permotoran lasak itu selepas pembabitan gadis genit itu dalam aktiviti berbasikal push bike pada usia dua tahun.

Jelasnya, Jelita sudah mula menunjukkan minat di dalam aktiviti sukan lasak sejak usia itu dan aktif sehingga pada usia empat tahun.

Dalam tempoh itu, Jelita banyak menyertai pelbagai kejohanan di seluruh Malaysia dan meraih pelbagai kejayaan.

"Namun, pada usia empat tahun, ketika itu bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi suami, Mohamad Naim Mohamad Isa dan saya mula mencari aktiviti baharu yang boleh disertai Jelita untuk mengisi waktu lapangnya.

 JELITA bersama keluarga yang menjadi tulang belakang pembabitannya di dalam motocross.
JELITA bersama keluarga yang menjadi tulang belakang pembabitannya di dalam motocross.

"Jadi, kami memperkenalkan Jelita dengan motocross yang boleh ditunggang kanak-kanak iaitu 50cc dan dia mampu mengimbangkan diri untuk mengendalikan motosikal lasak itu," katanya.

Jelasnya, sejak itu Jelita mula dibimbing jurulatih setiap hujung minggu sehingga usianya mencapai tujuh tahun, dia mula menyertai pelbagai kejohanan motocross di seluruh Malaysia.

"Pada usia tujuh tahun dia menyertai perlumbaan dalam kategori kanak-kanak. Boleh dikatakan dia antara individu termuda yang perlu bersaing dengan kanak-kanak lebih berusia darinya.

"Meskipun pada usia yang masih kecil, Jelita mempunyai semangat juang yang tinggi. Berbekalkan semangat dan latihan setiap hujung minggu, dia beroleh pelbagai kemenangan di dalam sukan permotoran itu," katanya.

Akuinya sebagai ibu bapa, dia dan suami amat menggalakkan Jelita untuk mempunyai akademik serta gaya hidup sihat yang seimbang selain melihat pembabitan anak sulung daripada tiga beradik itu di dalam sukan permotoran lasak itu memberi kesan positif kepada diri anak perempuannya.

"Jelita hanya berlatih pada hujung minggu sahaja. Sama ada pada Sabtu atau Ahad pada jam 9 pagi hingga 2 petang. Pada hari biasa diperlu fokus kepada rutin pembelajaran di sekolah seperti kanak-kanak yang lain seperti menghadiri kelas tuisyen dan kelas mengaji.

"Jadi, aktiviti motocross tidak akan mengganggu rutin harian akademiknya. Sebagai ibu bapa pastinya kami ingin melihat anak-anak bukan sahaja berjaya di dalam bidang akademik malah di dalam aktiviti sihat yang mereka minati seperti motocross," katanya.

MESKIPUN lasak Jelita
MESKIPUN lasak Jelita

Jelasnya, pembabitan Jelita di dalam sukan lasak itu sememangnya menyuntik semangat positif kepada Jelita meskipun dia masih kanak-kanak kerana setiap kali bakal menyertai perlumbaan, Jelita adalah individu yang paling bersemangat untuk cepat sampai ke litar perlumbaan.

"Setakat ini, saya dan suami tidak pernah lagi mendengar Jelita merungut penat atau rasa putus asa kerana setiap kali hari perlumbaan dia adalah orang yang paling bersemangat supaya saya dan suami cepat bersiap.

"Malah, dia juga sentiasa bersemangat untuk bersaing dengan orang yang lebih berusia daripadanya. Perkara ini kerana di Malaysia kategori kanak-kanak hanya di bawah usia 12 tahun sahaja dan ada juga tidak membahagikan jantina. Jadi, dia juga perlu berlumba dengan kanak-kanak lelaki yang lain, mungkin lebih berusia daripada usianya," katanya.

Tambahnya, penyertaan Jelita di dalam motocross sebenarnya memberi kesan baik kepada hubungan mereka sekeluarga kerana setiap kali perlumbaan yang disertainya, boleh dikatakan ramai ahli keluarga akan hadir menyokong.

"Aktiviti ini sememangnya mengeratkan hubungan kami sekeluarga kerana bukan saya sekeluarga sahaja yang datang bagi menyokong Jelita, malah datuk dan nenek Jelita juga kadang-kala akan datang ke litar perlumbaan untuk melihat dia beraksi.

"Bagi saya, aktiviti sihat seperti ini bukan sahaja memberi kesan baik kepada diri Jelita yang masih kanak-kanak untuk berseronok dengan kegiatan lasak berfaedah yang ingin dia lakukan tetapi mengeratkan hubungan kekeluargaan kami," katanya.

Katanya, sebagai ibu dan bapa mereka pastinya inginkan sesuatu yang terbaik apabila Jelita terbabit di dalam bidang permotoran lasak itu. Justeru, dia dan suami bersama-sama menimba ilmu di dalam bidang itu.

"Seperti suami dia pastinya lebih kepada sisi teknikal motosikal yang ingin digunakan oleh Jelita. Jadi, dia akan memastikan motosikal yang digunakan anak perempuan kami itu dalam keadaan terbaik ketika berlumba.

"Saya pula amat menitik beratkan soal keselamatan. Jadi, saya perlu pastikan pakaian perlindungan yang disarungkan Jelita mampu mengurangkan risiko cedera yang teruk jika berlaku kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 8:54 AM