VAKSIN Covid-19 Sinovac. FOTO fail AFP
VAKSIN Covid-19 Sinovac. FOTO fail AFP
AFP

Paris: Vaksin CoronaVac buatan China, yang digunakan secara meluas di Brazil, kurang berkesan terhadap varian Gamma yang pertama kali dikesan di negara Amerika Selatan itu, menurut satu kajian pada Jumaat.

Penyelidik mendapati bahawa antibodi dihasilkan oleh vaksin itu kurang berkesan terhadap varian berkenaan berbanding varian lain Covid-19.

Selain itu, varian Gamma juga boleh menjangkiti semula individu yang pernah dijangkiti sebelum itu.

Kemampuan Gamma untuk menghindari tindak balas sistem imun termasuk mereka yang sudah menerima imunisasi menunjukkan 'virus itu berpotensi untuk tersebar dalam kalangan individu yang divaksinasi, malah di kawasan dengan kadar vaksinasi yang tinggi', kata penulis kajian dalam satu kenyataan akhbar.

Dalam kajian kecil itu, penyelidik di Universiti Campinas di Brazil mendedahkan Gamma dan strain sebelumnya kepada antibodi dalam plasma darah 53 orang yang divaksinasi dan 21 orang yang sebelum ini dijangkiti virus Covid-19.

Dalam kumpulan individu yang sudah divaksin, 18 daripadanya sudah menerima satu dos vaksin CoronaVac, manakala 20 lagi baru saja menerima dos kedua, manakala 15 lagi sudah divaksin menerusi ujian klinikal vaksin Sinovac itu pada 2020.

Mereka mendapati Gamma mampu menghindari antibodi daripada hampir semua peserta yang menerima hanya satu dos vaksin, dan mereka yang divaksin pada 2020.

Kajian itu yang disiarkan dalam The Lancet Microbe, turut mendapati antibodi yang dihasilkan akibat jangkitan terdahulu perlu sembilan kali lebih tinggi bagi menghalang jangkitan Gamma untuk mengelak sakit yang lebih teruk daripada strain sebelum itu.

Penulis itu berkata, keputusan itu bermakna mereka yang sudah selamat daripada Covid-19 boleh dijangkiti semula.

Bagaimanapun katanya, disebabkan ujian klinikal mengesyorkan vaksin itu berkesan bagi menghalang sakit yang lebih teruk dan kematian, kemungkinan tindak balas imun lebih kompleks.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 2:15 PM