NUR Izzuddin (kanan) dan Sze Fei mara ke suku akhir Terbuka Korea. FOTO BADMINTON PHOTO
NUR Izzuddin (kanan) dan Sze Fei mara ke suku akhir Terbuka Korea. FOTO BADMINTON PHOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas digandingkan semula, persembahan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani semakin mantap termasuk di Terbuka Korea apabila menempah tempat ke suku akhir.

Sze Fei-Izzuddin menjadikan rakan senegara yang juga pilihan keenam, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi sebagai mangsa terbaharu mereka apabila menang aksi pusingan kedua, 25-23, 21-15 di Stadium Jinnam, Yeosu, Korea Selatan, hari ini.

Bagaimanapun, tugas getir menanti  Sze Fei-Izzuddin di pentas suku akhir, esok apabila bakal berdepan pilihan utama kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia yang mara selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 21-19, 21-15.

Isnin lalu, gandingan nombor 53 dunia itu merangkul kejuaraan sulung tahun ini dengan memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Nasib berbeza buat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi.

Olahragawan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 itu memenangi set pertama sebelum kalah 21-19, 18-21, 19-21.

Turut tersingkir adalah perseorangan wanita, K Letshanaa yang tewas 15-21 dan 5-21 kepada pilihan keempat dari Taiwan, Tai Tzu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 9:14 PM