AKSI Zii Jia ketika menentang Ng Ka Long. FOTO BAM
AKSI Zii Jia ketika menentang Ng Ka Long. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perjuangan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sekali lagi terkubur di peringkat awal apabila kali ini dia menjadi mangsa di Masters Indonesia selepas kalah kepada wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long sebentar tadi.

Ia kali ketiga berturut-turut tahun ini Zii Jia tidak dapat merasai aksi suku akhir apabila sebelum ini terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan tersekat di pusingan kedua Terbuka India.

Selepas memenangi set pertama, Zii Jia yang menduduki ranking keempat dunia bergelut di permainan penentuan sebelum tumpas 21-16, 20-22, 13-21.

Ia juga kekalahan kali kedua Zii Jia kepada pemain ranking ke-18 dunia itu, di mana sebelum ini dia kalah di suku akhir Terbuka New Zealand 2019.

Sementara itu beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya mara ke suku akhir selepas mengalahkan pasangan senegara, Vivian Hoo- Lim Chiew Sien 21-13, 21-16.

Menanti mereka di suku akhir esok ialah wakil China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan yang sebelum itu menumpaskan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong 22-20, 22-24, 21-12.

Turut mara ke suku akhir ialah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menumpaskan Mathias Thyrri-Amelie Magelund dari Denmark, 21-19, 21-16.

Esok mereka akan berdepan pilihan ketiga dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang sebelum itu menjinakkan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 12-21, 22-13, 21-18.

Beregu lelaki profesional, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong gagal meneruskan kemaraan selepas kalah 17-21, 17-21 kepada gandingan Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 10:30 PM