ADA yang gemar mengambil banyak makanan tambahan untuk mengurangkan risiko serangan penyakit kronik
ADA yang gemar mengambil banyak makanan tambahan untuk mengurangkan risiko serangan penyakit kronik
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Segelintir individu lebih mempercayai 'kuasa' makanan tambahan (suplemen) untuk mengurangkan risiko serangan penyakit kronik.

Ini menyebabkan mereka sanggup berbelanja besar untuk membeli 'koleksi' makanan tambahan bagi tujuan berkenaan tanpa memikirkan kesan sampingan jangka panjang.

Mereka terlupa terdapat bahan alami yang bukan sahaja murah dan mudah didapati di dapur rumah.

Malah, bahan alami ini mempunyai rahsia menakjubkan yang boleh mencegah penyakit kronik terutama barah ovari tanpa memberikan kesan sampingan.

Kemampuan bahan alami ini tidak perlu diragui kerana ia turut disokong kajian saintifik.

Barah ovari dianggap misteri kerana hanya dapat dikesan ketika ia pada tahap tiga dan empat.

Kebiasaannya, penyakit ini berlaku dalam kalangan wanita berusia 40-an ke atas dan barah keempat paling kerap dihidapi wanita.

Pakar Antioksidan Dr Suri Roowi berkata, bahan pertama ialah serbuk halia yang dijadikan minuman.

Dr Suri berkata, khasiat halia akan berubah-ubah mengikut cara halia diproses. Apabila halia dikeringkan dan dijadikan serbuk, bahan khasiat dalam halia segar (gingerol) akan bertukar kepada shogaol.

"Shogoal boleh membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dan merencatkan pertumbuhan sel barah, khususnya barah ovari dan barah usus besar.

SHOGOAL dalam serbuk halia boleh merencatkan pertumbuhan sel barah barah ovari.
SHOGOAL dalam serbuk halia boleh merencatkan pertumbuhan sel barah barah ovari.

"Bahan ini dua kali lebih pedas berbanding gingerol (bahan dalam halia segar). Kajian juga menunjukkan shogoal tinggi dalam halia bentong berbanding halia biasa.

Sebaiknya minuman ini diambil bersama madu asli," katanya.

Menurut Dr Suri, bahan kedua ialah air kunyit yang dikisar dan airnya ditapis untuk diminum.

"Kunyit mengandungi curcumin iaitu nutrien penting yang boleh menghalang semua fasa pertumbuhan barah (permulaan dan penyebaran).

"Bahan ini juga memainkan peranan penting dalam mencegah dan merawat barah ovari, barah hati dan barah paru-paru. Banyak kajian klinikal membuktikan keberkesanannya," katanya.

Dr Suri berkata, kajian menggunakan tabung uji menunjukkan bahan ini juga boleh menghalang pertumbuhan pelbagai jenis barah termasuk leukemia, barah limfoma, barah usus, barah pundi kencing, barah organ pembiakan, barah payu dara, barah rahim, barah paru-paru dan tumor otak.

BAWANG merah mengandungi bahan antibarah iaitu quercetin.
BAWANG merah mengandungi bahan antibarah iaitu quercetin.

"Kajian menggunakan tikus pula menunjukkan, bahan ini boleh menghalang pertumbuhan pelbagai jenis barah termasuk barah ovari, barah paru-paru, barah esofagus, barah hati, barah usus besar, barah prostat dan barah kulit.

"Sebaik-baiknya, ambil kunyit bersama secubit lada hitam untuk tingkatkan penyerapan bahan khasiat.

"Bagaimanapun, perlu hadkan pengambilan minuman ini jika berlaku pendarahan," katanya.

Kata Dr Suri, bahan ketiga ialah bawang merah dan kita digalakkan menggunakan lebih banyak bawang merah dalam masakan.

"Bawang merah mengandungi bahan antibarah yang tinggi iaitu 'quercetin'.

"Kulit luar bawang (bahagian yang kering) adalah bahagian paling tinggi bahan khasiat ini.

"Ia diikuti dengan lapisan dekat kulit luar. Namun, biasanya bahagian ini dibuang sebelum dimasak," katanya.

Jelasnya, selain bertindak sebagai antibarah, quercetin boleh menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan risiko serangan angin ahmar.

Sumber lain yang mengandungi quercetin adalah anggur hitam, epal, kobis dan cili merah.

PENYAKIT barah ovari digeruni wanita.
PENYAKIT barah ovari digeruni wanita.

"Kajian menunjukkan, bahan ini mampu menghalang pelbagai jenis barah seperti barah ovari, barah paru-paru, barah usus besar, barah payudara dan barah pankreas," katanya.

Tambah Dr Suri, kajian lain pula menemui bahan onionin A dalam bawang. Bahan ini juga boleh merencatkan pertumbuhan tumor dan memperlahankan penyebaran barah ovari dan paru-paru.

Dr Suri berkata, bahan terakhir asid kafeik iaitu bahan bersifat antibarah yang terdapat dalam madu lebah dan produk MK3.

Katanya, bahan ini juga boleh bertindak sebagai antitumor. Selain itu, ia boleh merencatkan pertumbuhan barah ovari.

"Kajian oleh saintis Romania dan Poland pada 2016 serta 2020 pula mendapati, asid kafeik berkesan untuk membunuh sel barah ovari.

"Di samping itu, kajian dilakukan oleh saintis pada 2015 dan tahun berikutnya terhadap 1,090 pesakit mendapati, asid kafeik boleh merencatkan pertumbuhan sel barah ovari dan payudara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 7:00 AM