KANAK-KANAK Palestin menyelongkar barangan dari bangunan runtuh di kem pelarian al-Bureij di tengah Gaza. FOTO AFP
KANAK-KANAK Palestin menyelongkar barangan dari bangunan runtuh di kem pelarian al-Bureij di tengah Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant mengadakan rundingan pada Isnin dengan utusan Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein, untuk membincangkan peralihan ke Fasa C perang berterusan Israel di Semenanjung Gaza.

Agensi Anadolu melaporkan, Gallant kini melawat AS untuk berbincang dengan pegawai di negara itu mengenai konflik Gaza.

"Gallant memberitahu Hochstein bahawa peralihan ke Fasa C dalam perang di Gaza akan memberi kesan kepada perkembangan di semua bidang," kata Kementerian Pertahanan Israel dalam satu kenyataan.

"Israel sedang bersedia untuk setiap senario dari segi ketenteraan dan diplomatik," tambahnya, merujuk kepada ketegangan yang semakin meningkat dengan kumpulan Hizbullah Lubnan.

Fasa ketiga di bawah definisi Israel termasuk pertempuran intensiti rendah di Gaza, serangan udara yang disasarkan, pengunduran tentera, penubuhan zon penampan berhampiran sempadan Gaza dan mencari alternatif kepada pemerintahan Hamas di kawasan berkenaan.

Israel melancarkan serangan maut ke atas Gaza pada 7 Oktober berikutan serangan Hamas, membunuh lebih 37,600 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 86,100 yang lain.

Gallant dan Hochstein turut membincangkan tindakan yang diperlukan untuk mencapai kepulangan selamat warga Israel, kata kenyataan itu.

Minggu lalu, Hochstein melawat Israel dan Lubnan sebagai sebahagian daripada usaha AS untuk membendung peningkatan serangan rentas sempadan antara Tel Aviv dan Hizbullah.

Sementara itu, AFP melaporkan Gallant ketika lawatan ke Washington mengulangi ikrar untuk membawa pulang tebusan dari Gaza.

"Saya ingin menekankan bahawa ia adalah komitmen utama Israel untuk pemulangan tebusan, dengan tidak pengecualian, kepada keluarga dan rumah mereka.

"Kami akan terus membuat setiap usaha yang mungkin untuk membawa mereka pulang ke rumah." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 11:42 AM