JOOHARI menunjukkan Pelancaran Iltizam Cikgu Joohari pada Ceramah Perpaduan sempena PRK Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
JOOHARI menunjukkan Pelancaran Iltizam Cikgu Joohari pada Ceramah Perpaduan sempena PRK Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin melancarkan manifesto menerapkan konsep PADU sebagai iltizam membantu penduduk Sungai Bakap sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 6 Julai ini.

Empat teras yang terkandung dalam iltizam itu adalah simbolik daripada perkataan per-PADU-an iaitu, P - Prasarana dan Progresif; A - Akhlak, Akademik Anak Muda; D - Damai dan U - Untuk Semua.

Menerusi teras P - Prasarana dan Progresif, Joohari beriltizam memastikan semua kemudahan awam dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan penduduk.

"Ia dengan memastikan projek infrastruktur air dan lalu lintas seperti Projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kerian, Projek Air Perak-Pulau Pinang, pembinaan sambungan jalan di Bandar Tasek Mutiara disempurnakan mengatasi permasalahan.

"Selain itu, saya turut beriltizam menaik taraf fasiliti wad bersalin dan rawatan pakar geriatrik di Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk warga emas, menjadikan Sungai Bakap sebagai pusat pengeluaran produk mikro halal, penyertaan usahawan wanita dalam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan mewujudkan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe)," katanya ketika melancarkan iltizam berkenaan pada Ceramah Mega Perpaduan di sini, malam tadi.

Bagi teras A - Akhlak, Akademik Anak Muda, Joohari mahu meningkatkan kecemerlangan warga Sungai Bakap dengan pemberian pendidikan percuma tuisyen rakyat untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengembangkan program STEM, TVET, dan kecerdasan pembuatan (Al) menerusi Nadi (Pusat Sebaran Maklumat Nasional) dan Digital Pulau Pinang ke Sungai Bakap.

"Merancakkan program jati diri dalam meningkatkan semula self-esteem remaja dengan mewujudkan kaunter tetap CARI KERJA, Pusat Kekal, penambahan dan menaik taraf fasiliti sukan rakyat serta mengembalikan minat belajar dalam kalangan pelajar melalui bantuan tutor dari universiti tempatan," katanya.

Di bawah teras D - Damai, Joohari akan berusaha mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan pelbagai etnik dengan pengukuhan institusi keluarga, melalui pelbagai program inklusif.

"Hal ini adalah dengan menoktahkan miskin tegar menerusi pemberian bantuan kerajaan yang efisien, mewujudkan satu Taska Perpaduan dan Tadika Islam (Tadis) bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga.

"Pada masa sama, saya akan membantu menyelesaikan permasalahan lama kewarganegaraan bagi warga emas dan kanak-kanak tempatan yang berkelayakan, pengimarahan masjid dan surau serta pemuliharaan rumah ibadat bukan Islam melalui kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.

Terakhir, bagi teras U - Untuk Semua, Joohari merujuk ia sebagai usaha untuk memberi layanan dan perhatian yang adil kepada seluruh masyarakat dengan memberi fokus kepada keupayaan daya saing belia, anak muda, wanita, pengembangan pendidikan kanak-kanak serta warga emas tanpa mengira fahaman politik, budaya dan agama.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Joohari dan Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 1:09 AM