Rakaman CCTV menunjukkan Zhang sengaja melanggar sebuah kereta. FOTO Douyin
Rakaman CCTV menunjukkan Zhang sengaja melanggar sebuah kereta. FOTO Douyin
Agensi

Beijing: Mahu mendapatkan wang dengan mudah, lelaki di China ini sengaja melanggar kenderaan lain untuk menuntut pampasan dengan mangsa.

Namun, lapor Beijing TV taktik Zhang yang mengayuh basikal di jalan sibuk di ibu negara sebelum menghimpit kenderaan di lorong tidak bermotor dan memeras ugut pemandu, akhirnya terbongkar.

Zhang ditahan kerana melakukan kemalangan jalan raya untuk memeras ugut pemandu kereta selepas memperoleh 100,000 yuan (RM64,892.50) sepanjang tempoh dua bulan.

Taktiknya terbongkar selepas seorang mangsa membuat laporan polis.

Mangsa, Li, membayar 2,500 yuan (RM1,622.31) sebagai pampasan selepas kemalangan dengan Zhang di persimpangan utama di daerah Shijingshan, Beijing, kira-kira 6 pagi pada hari bekerja.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, di tempat dan masa sama, Li bertemu semula dengan Zhang ketika yang terakhir menunggang basikal sebelum tiba-tiba terjatuh di sebelah keretanya lagi.

Susulan itu, Li membuat laporan polis dan rakaman pengawasan pengawasan menunjukkan, Zhang melakukan perkara sama pada pertengahan April dan meminta 500 yuan (RM324.46) dengan seorang pemandu lain.

Pada penghujung April, polis menahan Zhang atas dakwaan penipuan.

Zhang berkata, jika dia dilanggar kereta, dia akan menuntut antara ratusan dan ribuan yuan sebagai pampasan.

Katanya, skim peras ugutnya bergantung kepada perasaan bersalah yang dirasai pemandu.

"Saya buat kemalangan seperti itu tiga hingga empat kali sehari dengan pendapatan mencecah 100,000 yuan sejak dua bulan lalu.

Di China, jika kereta didapati menggunakan lorong tidak bermotor, pemandu akan didenda 200 yuan (RM129.79) dan dua mata demerit mereka akan dipotong.

Peluang itu digunakan Zhang apabila ramai pemandu menggunakan jalan masuk tidak bermotor kerana tidak suka menunggu dalam barisan terutama sebelum persimpangan.

Kes ugut membabitkan kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di China.

Pada Mei lalu, tiga lelaki ditahan polis Beijing kerana memeras ugut dua lelaki untuk 8,000 yuan (RM5,191.40) dalam kemalangan yang disengajakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 12:48 PM