ZHANG dihukum mati. Foto Daily Mail
ZHANG dihukum mati. Foto Daily Mail
Agensi

BEIJING: Seorang lelaki dihukum mati kerana membunuh tiga jirannya tahun lalu bagi membalas kematian ibunya lebih dua dekad lalu.

Daily Mail melaporkan, Zhang Koukou, 35, dihukum mati kerana menikam mati Wang Zixin, 70, dan dua anak lelakinya Wang Zhengjun, 40, serta Wang Xiaojun, 46, di sebuah kampung di Hanzhong, wilayah Shaanxi pada Februari tahun lalu, kata Mahkamah Rakyat Hanzhong, semalam.

Pihak berkuasa berkata, Zhang menyaksikan Zhengjun membunuh ibunya Wang Xiuping menggunakan kayu ketika pertengkaran pada 1996 bagi membalas tindakan wanita itu memukul muka Zhengjung menggunakan batang besi. Ketika kejadian, Zhang baru berusia 13 tahun.

Memandangkan Zhengjun juga masih bawah umur ketika itu, dia hanya dipenjara tujuh tahun manakala keluarganya membayar pampasan 9,639 yuan (RM5,800) kepada keluarga Zhang.

Menurut dokumen mahkamah, Zhang membalas dendam terhadap keluarga berkenaan ketika mereka pulang daripada membersihkan kubur pada 15 Februari tahun lalu dengan menikam Zhengjun. Dia menikam Zhengjun dan abangnya Xiaojun sebelum pergi ke rumah keluarga itu dan menikam mati Zixin.

Zhang kemudian menyimbah kereta Xiaojun dengan petrol sebelum membakarnya. Dia ditahan selepas menyerah diri kepada polis dua hari kemudian.

“Saya mengaku melakukan jenayah ini. Saya mohon maaf menyebabkan impak negatif terhadap masyarakat dan memohon maaf kepada keluarga mangsa. Saya harap saya diampunkan,” katanya.

Dia akan merayu terhadap hukuman mati itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 10:06 PM