DATUK Bandar Luliang, Zhang Zhongsheng, 65, ketika dihadapkan ke mahkamah.  FOTO Weibo
DATUK Bandar Luliang, Zhang Zhongsheng, 65, ketika dihadapkan ke mahkamah. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Bekas penolong datuk bandar sebuah bandar miskin yang digelar ‘Godfather’ oleh penduduk tempatan, dihukum mati kerana menerima rasuah lebih satu bilion yuan (RM614 juta) selama 16 tahun.

Zhang Zhongsheng, 65, terkenal dengan pelbagai rumah agam selain digelar ‘Godfather’ kerana pengaruh dan kuasanya di bandar Luliang.

Hukuman mati bagi jenayah rasuah banyak dilaksanakan sejak Presiden Xi Jinping berkuasa pada 2012.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, ketika menjatuhkan hukuman, mahkamah menyatakan ketamakan Zhang amat luar biasa sepanjang dia bertugas lebih 40 tahun dalam kerajaan tempatan sebelum mula disiasat pada 2014.

Zhang menerima rasuah bernilai lebih 1.04 bilion yuan (RM639 juta) mulai 1997 hingga 2013 melalui pemberian lesen untuk pelbagai projek, termasuk pelombongan arang batu.

Zhang juga gagal menjelaskan sumber asetnya yang bernilai lebih 130 juta yuan (RM80 juta).

Mahkamah berkata: “Dua daripada 18 kes rasuah membabitkan lebih 200 juta yuan (RM123 juta) dan dia meminta rasuah 88.68 juta yuan (RM54 juta).

“Zhang juga gagal memulangkan lebih 300 juta yuan (RM184 juta) wang itu.”

Zhang boleh membuat rayuan terhadap hukuman itu dan hukuman mati perlu diluluskan oleh Mahkamah Agung di Beijing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 3:13 AM