JEMAAH haji berdoa di Arafah. FOTO AFP
JEMAAH haji berdoa di Arafah. FOTO AFP
AFP

Makkah: Rakyat Palestin yang dijemput oleh Raja Arab Saudi Raja Salman untuk menunaikan haji tahun ini, meluahkan rasa syukur apabila dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Douaa al-Massarii, 33, adalah salah seorang daripada 2,000 rakyat Palestin yang dijemput oleh Raja Salman untuk menunaikan haji, termasuk 1,000 penduduk Gaza.

Massarii yang tinggal sebagai pelarian di Mesir, sejak Februari lalu, bagaimanapun tidak dapat menahan sebak tatkala mengenang nasib menimpa suami dan anak-anaknya.

"Tetapi kebahagiaan saya tidak lengkap tanpa anak, tanpa suami," katanya sambil menahan sebak.

Douaa berkata, dia berasakan anak-anaknya bersamanya ketika dia melakukan tawaf di Kaabah, Masjidilharam.

"Semasa saya menoleh, saya melihat tiga anak saya di langit, saya berdoa untuk mereka. Apabila saya menyentuh Kaabah, saya berasa selesa," katanya.

Bagaimanapun, tiada apa yang akan memadamkan luka 31 Oktober tahun lalu apabila serangan Israel memusnahkan rumah di mana dia tinggal bersama keluarganya.

"Apabila saya tersedar di bawah runtuhan, saya tidak lagi merasakan tubuh saya. Saya hanya mendengar anak sulung saya menangis," katanya.

Douaa dibawa ke hospital dalam keadaan patah punggung dan diberitahu bahawa anak lelakinya yang berusia lapan tahun dan anak perempuannya yang berusia 18 bulan, terbunuh.

Suaminya yang parah dilaporkan meninggal dunia beberapa hari kemudian. Anak perempuan sulung mereka, berusia sembilan tahun yang menyertai keluarga bapanya di kawasan Semenanjung Gaza yang dianggap lebih selamat, tetapi dia tidak bertahan lama.

Dalam pengeboman Israel, anak perempuannya itu terbunuh bersama semua orang di dalam rumah berkenaan.

"(Dia) satu-satunya anak yang saya tinggal (sebelum ini). Dia yang membantu saya bertahan," tangis Douaa.

Seorang lagi penduduk Palestin yang menerima jemputan menunaikan haji itu, Khalil al-Rahman Jaber berkata, dia bersyukur berada di Makkah, biarpun bergelut dengan kesedihan.

Lelaki berusia 27 tahun itu berdoa untuk kakaknya, yang terbunuh dalam pengeboman Israel bersama suami dan dua anaknya, dan ramai bapa saudara dan rakan yang menerima nasib sama.

"Saya berada di rumahnya sejam sebelum itu," kata peguam itu, yang melarikan diri dari Gaza pada Mac lalu.

Lelaki itu berkata, dia mencari ahli keluarganya itu di bawah runtuhan, hanya dengan menggunakan tangan. Pada hari sama, dia bernasib baik ketika serangan lain melanda bangunannya.

"Saya lebih suka untuk tidak melarikan diri. Alhamdulillah, kami mempunyai iman.

"Haji, kehadiran di tempat-tempat suci ini menanamkan perasaan harapan, perasaan bahawa mungkin untuk mendapatkan semula kehidupan kita, walaupun ia mengambil masa yang lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 3:24 PM