SEORANG lelaki menangis di samping jenazah ahli keluarga yang terbunuh di Hospital Najjar di selatan Gaza. FOTO AFP
SEORANG lelaki menangis di samping jenazah ahli keluarga yang terbunuh di Hospital Najjar di selatan Gaza. FOTO AFP
Syarifah Dayana Syed Bakri

Beberapa minggu lalu, saya menulis mengenai tragedi Oktober yang berlaku di negara jiran kita, Thailand.

Ia adalah rentetan peristiwa menyedihkan berlaku setahun yang lalu, juga pada bulan Oktober.

Di akhir nukilan saya menitipkan harapan agar tiada lagi peristiwa hitam berlaku khususnya membabitkan nyawa kanak-kanak.

Namun, perancangan Allah mengatasi segalanya.

Minggu ini masuk minggu kedua bumi Palestin digegarkan dengan serangan daripada rejim Israel. Ia bermula sejak 7 Oktober lalu dengan serangan balas daripada kedua-dua pihak menyebabkan ribuan orang awam menjadi mangsa.

AFP melaporkan, trak aiskrim di Gaza terpaksa dijadikan tempat penyimpanan mayat mangsa serangan rejim Israel, berikutan jumlah mayat melebihi kapasiti bilik mayat hospital di wilayah itu.

Trak putih dilitupi dengan poster aiskrim di tempat letak kereta hospital di tengah Gaza, Deir el-Balah, yang dipenuhi mayat dibalut dengan bungkusan putih.

Antara mayat yang disimpan di trak itu ialah ahli keluarga kepada penduduk tempatan, Talaat Abu Lashine, yang rumahnya ketika itu dihuni 16 ahli keluarga termasuk lapan kanak-kanak.

Dua peluru membedil rumahnya pada waktu Subuh ketika semua mangsa sedang tidur.

Bilik mayat di Gaza juga sudah melebihi kapasiti malah terdapat banyak mayat dilaporkan ditinggalkan begitu sahaja di unit forensik selepas puluhan ribu penduduk tidak mengendahkan amaran Israel supaya melarikan diri ke bahagian selatan menjelang serangan darat.

Ketua Biro Media Hamas, Salama Maruf berkata, sebuah kubur di kawasan luas disediakan bagi mengebumikan kira-kira 100 jenazah susulan banyak mayat yang tidak dituntut di al-Shifa.

Katanya, hospital itu terus menerima jumlah mayat yang banyak dan bagi mengelakkan jenazah rosak, kubur 'besar' disediakan bagi mengebumikan mereka.

Sementara itu, Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, bekalan beg mayat juga mengalami kekurangan di Gaza.

Malah, petugas di tanah perkuburan di Rafah, selatan Gaza, Ihsan al-Natour berkata, jumlah mayat yang terlalu banyak menyebabkan identiti mereka tidak sempat dikenal pasti.

Menurutnya, terdapat banyak kanak-kanak dalam kalangan syuhada dan dia mengebumikan tiga hingga empat jenazah dalam satu liang lahad.

Berikutan keadaan yang meruncing itu, Kementerian Hal Ehwal Agama Gaza mencadangkan penggunaan kubur secara awam berikutan jumlah kematian yang besar dan kekurangan ruang pengebumian.

Kira-kira 1,000 mayat mungkin masih berada di bawah runtuhan, selain memberi amaran risiko penyakit merebak.

Kekejaman Israel tidak terhenti di situ. Sudahlah orang awam yang berada di rumah masing-masing dibedil, lebih menyayat hati hospital turut menjadi sasaran mereka.

Bagaimanapun, tentera Israel berbohong dan menuding jari ke arah kumpulan pejuang Jihad Islam dan menyalahkan kumpulan itu sebagai pihak yang bertanggungjawab menyebabkan ratusan orang awam di hospital terbunuh.

Sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam serangan udara di pekarangan hospital yang melindungi mereka yang cedera dan kehilangan tempat tinggal daripada pengeboman Israel.

Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas mendakwa bahawa Israel berada di belakang serangan ke atas hospital Arab Ahil di tengah Gaza, tetapi tentera Israel menyalahkan roket tidak berfungsi yang ditembak oleh pejuang Jihad Islam.

Menurut kementerian itu, hospital berkenaan diarahkan untuk berpindah oleh Israel di bawah ancaman pengeboman, dan ia adalah bom yang dijatuhkan oleh pesawat tentera Israel.

Tidak cukup dengan serangan udara, Israel turut menyekat bekalan air, elektrik, makanan dan ubat-ubatan.

Kekejaman Israel ini membuatkan rasa marah kita meluap-luap. Selain doa yang tidak putus-putus, rakyat Malaysia juga bermurah hati menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit.

Teruskan berdoa wahai umat Islam. Itulah senjata ampuh yang kita miliki ketika ini.

Namun, dalam masa sama berwaspadalah dengan pihak yang mengambil kesempatan atas kesengsaraan Palestin mengaut keuntungan peribadi.

Ada yang mengutip derma atas nama NGO berkaitan Palestin, ada juga menjual produk dengan rekaan bendera Palestin.

Apa saja bentuk 'produk' semoga ia benar-benar sampai ke penduduk Palestin, dan tidak memenuhkan kantung pihak tertentu.


Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 6:00 AM