Seorang lelaki Iran duduk di sebelah kain kafan simbolik mayat kanak-kanak Gaza di Tehran, Iran pada 13 November 2023. FOTO WANA (Agensi Berita Asia Barat) melalui REUTERS
Seorang lelaki Iran duduk di sebelah kain kafan simbolik mayat kanak-kanak Gaza di Tehran, Iran pada 13 November 2023. FOTO WANA (Agensi Berita Asia Barat) melalui REUTERS
BERNAMA-WAFA/AA

Gaza: Sekurang-kurangnya 11,540 rakyat Palestin terkorban ketika pengeboman Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat memasuki hari ke-38 pada Isnin.

Kementerian Kesihatan Palestin memberitahu lebih 28,200 rakyat Palestin dilaporkan cedera manakala sekurang-kurangnya 3,250 lagi masih hilang atau tertimbus di bawah runtuhan, termasuk 1,700 kanak-kanak.

Seramai 202 kakitangan kesihatan dan 36 anggota Pertahanan Awam turut terbunuh manakala lebih 130 lagi cedera, 60 ambulans rosak, termasuk 53 yang tidak lagi berfungsi sepenuhnya, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) memetik kementerian itu.

Hospital Diserang

Operasi pengeboman di sekitar Hospital Al-Shifa iaitu hospital utama di Bandaraya Gaza diperhebat sejak 11 November, apabila infrastruktur penting dibedil hingga melumpuhkan operasinya termasuk stesen pengudaraan, tangki air dan perigi, kemudahan jabatan kardiovaskular serta wad bersalin manakala tiga jururawat turut maut.

Kira-kira enam bayi pramatang dan sekurang-kurangnya 15 pesakit meninggal dunia kerana hospital tidak lagi berfungsi akibat ketiadaan bahan api.

Bilangan hospital yang tidak lagi beroperasi kini mencecah 25 daripada 35 hospital di Semenanjung Gaza dan 53 daripada 72 klinik kesihatan juga telah berhenti beroperasi kerana kekurangan bahan api atau dibom.

Bulan Sabit Merah Nafi Dakwaan Lelaki Bersenjata Di Dalam Hospital Al-Quds

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pada Isnin menafikan dakwaan Israel mengenai kehadiran lelaki bersenjata Palestin di dalam Hospital Al-Quds di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Persatuan itu mengecam "dakwaan palsu tentera pendudukan (Israel) mengenai lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari dalam Hospital Al-Quds."

Pihaknya juga menganggap dakwaan itu sebagai "hasutan untuk menyasarkan hospital" yang secara terang-terangan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Persatuan Bulan Sabit Merah pada Ahad memaklumkan bahawa Hospital Al-Quds tidak lagi beroperasi kerana kekurangan bahan api dan elektrik, namun ramai penduduk Gaza berlindung di hospital itu dengan harapan ia tidak akan dibedil rejim Israel.

"Tiada Bahan Api Masuk ke Gaza" Sejak 7 Oktober

Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Isnin memberi amaran bahawa pihaknya kemungkinan terpaksa menangguhkan operasi di Gaza dalam tempoh 48 jam kerana kekurangan bahan api.

Kenyataan itu dibuat oleh pengarah UNRWA di Gaza Thomas White, yang mengesahkan bahawa "tiada bahan api memasuki Gaza" sejak 7 Oktober.

"Operasi kemanusiaan di Gaza akan terhenti dalam tempoh 48 jam akan datang kerana tiada bahan api dibenarkan masuk Gaza sejak tarikh itu," kata pegawai kanan itu.

UNRWA adalah agensi utama PBB yang beroperasi di Semenanjung Gaza, dan sekolah-sekolahnya kini menempatkan kira-kira 700,000 rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal.

Beribu-ribu bangunan termasuk hospital, masjid dan gereja juga rosak atau musnah dalam serangan udara dan darat sejak bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 3:01 PM