TRAK membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza menerusi sempadan Rafah dari Mesir. FOTO AFP.
TRAK membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza menerusi sempadan Rafah dari Mesir. FOTO AFP.
Agensi

Gaza: Sebanyak 55 trak sarat dengan bantuan kemanusiaan sudah memasuki Semenanjung Gaza pada Sabtu, selepas gencatan senjata selama seminggu berakhir.

Bantuan itu termasuk air, makanan, ubat-ubatan dan peralatan perubatan, memasuki sempadan Rafah dari Mesir, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di aplikasi X yang dilapor Anadolu.

Israel pada Jumaat melarang trak bantuan memasuki Gaza melalui persimpangan Rafah, malah meneruskan serangan lebih dahsyat ke atas semenanjung itu selepas berakhirnya jeda kemanusiaan.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 193 rakyat Palestin terkorban dalam serangan pada Jumaat dan mencederakan 652 orang.

Di Khan Yunis di selatan Gaza, pesawat pejuang Israel melakukan beberapa siri pengeboman ke atas kediaman yang mengakibatkan kematian dan berpuluh orang cedera.

Tentera Israel turut memaksa penduduk di bandar Khan Yunis mengosongkan rumah mereka, sekali gus meningkatkan jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal.

Di kawasan perumahan Shujaeya, lebih 150 orang awam terbunuh selepas tentera Israel menyerang blok kediaman.

Sejumlah besar mangsa dihantar ke Hospital Al-Ahli di Gaza, manakala masih ramai yang dilapor terperangkap di bawah runtuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 3:29 PM