PINTU sempadan Rafah yang ditutup susulan krisis Palestin-Israel. FOTO AFP
PINTU sempadan Rafah yang ditutup susulan krisis Palestin-Israel. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Serangan udara Israel dan tembakan artileri melanda kawasan sempadan Rafah antara Mesir dan Semenanjung Gaza, mengganggu operasi di satu-satunya pintu keluar di sempadan selatan wilayah itu, lapor portal The National.

Disebabkan itu, Mesir menggesa Israel membuka koridor kemanusiaan untuk 2.3 juta penduduk di kawasan itu untuk melarikan diri daripada situasi semasa yang dikatakan paling buruk dalam tempoh 75 tahun sejak permulaan konflik Israel dengan Palestin.

Pengeboman yang berlaku sehari selepas letupan berhampiran pintu sempadan di bahagian Gaza, memaksa pihak berkuasa Mesir untuk menangguhkan operasi lintasan di Rafah itu.

Tiga lintasan lain di sepanjang sempadan Mesir, dengan Semenanjung Gaza dan Israel, ditutup atas sebab keselamatan.

Pihak berkuasa dalam pada itu meningkatkan rondaan di sepanjang sempadan Mesir dengan Gaza dan Israel untuk menghalang sebarang penyusupan oleh pejuang Hamas ke Israel.

Justeru, tentera yang ditempatkan di kawasan itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan diberi kebenaran untuk menggunakan tindakan kekerasan terhadap pergerakan yang mencurigakan.

Gangguan lalu lintas di persimpangan Rafah dan penutupan yang lain berlaku ketika pesawat pejuang dan artileri Israel menyerang Gaza sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan ke selatan Israel oleh pejuang Hamas dari Gaza yang menyebabkan kira-kira 1,600 terbunuh dari kedua-dua pihak.

Serangan mengejut hujung minggu itu dianggap hari paling berdarah di Israel, sejak tentera Mesir dan Syria melancarkan serangan mengejut terhadap tentera Israel, kira-kira 50 tahun lalu.

Rafah adalah satu-satunya lintasan ke Semenanjung Sinai Mesir untuk penduduk Gaza. Di bahagian lain, Gaza dikelilingi laut dan dikepung Israel.

Sebelum penutupan dibuat, kira-kira 800 orang meninggalkan Gaza melalui lintasan Rafah dan kira-kira 500 orang masuk, walaupun lintasan itu ditutup untuk pergerakan barang, menurut laporan Reuters.

Lintasan lain yang ditutup oleh pihak berkuasa Mesir di sepanjang sempadan dengan Israel dan Gaza ialah Taba di hujung utara Teluk Aqaba di Laut Merah yang kebanyakannya digunakan oleh pelancong Israel yang melawat pusat peranginan di selatan Sinai, termasuk Dahab dan Sharm El Sheikh.

Lintasan lain adalah pos sempadan komersial Karam Abu Salem, yang terletak di mana Gaza, Mesir dan Israel bertemu, dan Al Ouga, di sempadan Mesir-Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 12:36 PM