FOTO fail menunjukkan operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan di Gaza yang dilaksanakan pesawat tentera. FOTO Tentera Udara Jordan/ AFP
FOTO fail menunjukkan operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan di Gaza yang dilaksanakan pesawat tentera. FOTO Tentera Udara Jordan/ AFP
AFP

Istanbul: Turkiye pada Isnin berkata, Israel menghalang percubaannya untuk menghantar bantuan ke Gaza, dan berikrar untuk mengambil beberapa siri langkah baharu terhadap negara itu.

Tentera udara Turkiye mahu menggugurkan sebahagian daripada operasi bantuan kemanusiaan melalui pesawat kargonya.

"Hari ini kami mengetahui bahawa permintaan kami... ditolak oleh Israel. Tidak ada alasan untuk Israel menghalang percubaan kami untuk menghantar bantuan kepada rakyat Gaza yang kelaparan," kata Menteri Luar, Hakan Fidan.

"Kami memutuskan untuk mengambil satu siri langkah baharu terhadap Israel," katanya, sambil menambah bahawa ia akan dihebahkan oleh institusi berkaitan.

Fidan berkata, tindak balas Ankara yang diluluskan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan, seorang penyokong lantang perjuangan Palestin, akan dilaksanakan "selangkah demi selangkah" dan "tanpa sebarang penangguhan."

"Langkah-langkah ini akan dilaksanakan sehingga Israel mengisytiharkan gencatan senjata dan membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa gangguan," kata menteri itu.

Erdogan adalah salah seorang pengkritik paling keras terhadap perang Israel di Gaza.

Beliau menjenamakan Israel sebagai "negara pengganas" dan membandingkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan Adolf Hitler sambil memanggil Hamas - yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah - "kumpulan pembebasan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 9:39 AM