PEMANDU teksi menikam teman wanitanya beberapa kali selepas lamaran ditolak. FOTO Agensi
PEMANDU teksi menikam teman wanitanya beberapa kali selepas lamaran ditolak. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang pemandu teksi menikam teman wanitanya beberapa kali sehingga mati di khalayak ramai selepas lamarannya ditolak.

Indiatoday melaporkan, lelaki berusia 35 tahun itu kemudian menyerah diri di balai polis berhampiran.

Wanita itu meninggal dunia akibat kecederaan tikaman dan mayatnya ditemui di tempat kejadian.

Suspek dikenali sebagai Girish berasal dari Jayanagar di Bengaluru, manakala wanita berusia 42 tahun itu, dikenali sebagai Farida Khatun, berasal dari Bengal Barat dan bekerja di sebuah spa di bandar Bengaluru.

Menurut polis, Girish memeluk Islam pada 2011 kerana kesukaran mencari jodoh untuk kakaknya tetapi kembali kepada nama asalnya dengan tetap berpegang kepada beberapa amalan Islam.

Farida datang ke Bengaluru dari Bengal Barat bersama anak perempuannya pada 26 Mac, sejurus sebelum hari lahir Girish pada 29 Mac.

Dia ingin meraikan hari lahir Girish serta mencari kolej untuk salah seorang anak perempuannya.

Pada hari kejadian, lelaki itu menemani Farida dan anak perempuannya untuk membeli-belah dan makan tengah hari, sebelum pulang ke hotel.

Pada petang itu, semasa di Shalini Grounds, Girish melamar Farida, tetapi wanita itu menolaknya.

Dalam keadaan marah, Girish menikam wanita itu berkali-kali dan kemudian menyerah diri di balai polis Jayanagar.

Sementara itu, Deputi Komisioner Shivaprakash Devaraju berkata, polis menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.30 malam Sabtu mengenai penemuan mayat seorang wanita di tangga Shalini Ground.

Sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian, mengenal pasti kesan tikaman di badannya.

"Seorang lelaki dikenali Girish datang ke balai polis dan mengaku melakukan jenayah itu. Kami menahannya untuk siasatan lanjut.

"Girish dan Farida mengenali antara satu sama lain sejak 10 tahun lalu dan menjalinkan hubungan.

"Dia ingin mengahwini wanita itu tetapi ditolak, menyebabkan pasangan itu sering bertengkar." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 3:15 PM