GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Belfast: Seorang ibu yang membunuh bayi lelakinya berusia lapan minggu dengan menikam di bahagian jantung anaknya itu sebanyak dua kali dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya 20 tahun.

Metro UK melaporkan ibu berusia 31 tahun berkenaan yang tidak didedahkan namanya, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Donna McColgan KC di Mahkamah Crown Belfast, Ireland Utara.

Wanita itu turut didakwa menikam anak perempuannya yang berusia dua tahun semasa serangan mengerikan di rumah mereka di Belfast, pada petang 27 Julai 2021.

Wanita itu mengakui dia menikam anak-anaknya itu tetapi menafikan tuduhan membunuh dan cubaan membunuh.

Dia disabitkan kesalahan oleh juri selepas perbicaraan di Mahkamah Crown Belfast.

Dalam tragedi itu, Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI) tiba di lokasi kejadian selepas dihubungi suami tertuduh sebab bimbang mendapati wanita itu duduk di atas katil, sambil memegang kepala anak perempuannya yang menjerit ketakutan.

Pada masa itu, bayi lelakinya yang tidak bernyawa, terbaring di sebelah mereka.

Apabila konstabel polis bermati-matian cuba menyelamatkan bayi itu, tertuduh dengan tidak berperasaan memberitahu mereka: 'Saya tidak akan risau tentang dia, dia sudah mati. Saya tikam dia.'

Hakim McColgan KC berkata, polis merampas sebuah diari yang ditemukan di bahagian dapur rumah yang ditulis oleh defendan berkenaan.

Hakim berkata satu entri di diari itu berbunyi: "Saya memilih untuk mengambil nyawa kami untuk semua yang anda lakukan kepada kami. Awak sampai tahap sanggup tinggalkan anak awak untuk perempuan lain."

Dia berkata, wanita itu membuat dakwaan didera pasangannya dan mahu meninggalkan rumah mereka.

Inspektor Detektif PSNI Gina Quinn berkata, pada petang kejadian, polis dipanggil ke sebuah rumah di Belfast itu sebelum menemui wanita itu bersama dua anaknya yang cedera.

"Bayi lelaki itu yang baru berusia lapan minggu, mengalami dua tikaman di dadanya.

"Paramedik segera membawa si kecil ke Hospital Diraja Belfast untuk Kanak-kanak Sakit menggunakan Perkhidmatan Ambulans Ireland Utara. Tetapi, tragisnya mangsa disahkan meninggal dunia, lewat petang itu.

"Anak gadis wanita itu juga ditikam di dada. Dia dipindahkan ke hospital dan terselamat berkat pembedahan kecemasan yang menyelamatkan nyawanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 10:54 AM