RAQUEL
RAQUEL
Agensi

Brasilia: Seorang ahli perniagaan perempuan mati ditikam tumit stiletto setinggi tiga inci di hadapan anak perempuannya berusia 13 tahun ketika terbabit dalam pergaduhan jalan raya dengan pemandu wanita lain.

Raquel Melo Motta, 39, didakwa ditikam tiga kali di dadanya oleh pemilik bakeri, Islay Cristina Pereira de Sousa, menggunakan kasut tinggi wanita terbabit, dengan satu tikaman menusuk ke jantungnya.

Selepas kejadian, Raquel sempat masuk ke keretanya dan memandu dari situ tetapi rebah beberapa saat kemudian sebelum meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan dialami.

Menurut laporan, Islay menyerah diri kepada polis Selasa lalu, tiga hari selepas kejadian. Dia ditahan reman kerana disyaki membunuh selepas memberitahu detektif terpaksa berbuat demikian untuk melindungi diri.

Rakaman video litar tertutup menunjukkan Islay mendekati Raquel sejurus selepas dia memberhentikan keretanya sambil membawa objek tajam di tangan kanannya untuk menyerang mangsa.

Raquel bertindak balas dengan menumbuk serta menarik rambut Islay sebelum berundur dan masuk ke dalam kereta sambil mencengkam dadanya.

Islay nampaknya tidak menyedari pergaduhan itu berakhir tragik apabila dia dirakam mengutip semula barangnya yang terjatuh dari tas tangan sebelum meninggalkan tempat kejadian bersama seorang lelaki.

ISLAY
ISLAY

Suami Raquel, Vanderson memberitahu stesen televisyen tempatan, Islay mengejar kereta isterinya selepas bertengkar ketika dia cuba memotong lampu merah.

“Ketika itu lampu trafik bertukar merah, tetapi dia mahu terus berjalan. Dia kemudian mengugut mahu memukul kereta isteri saya,” katanya.

Kejadian berlaku di luar kediaman pasangan itu di bandar Macae.

Rakan Raquel lain turut memberi penghormatan menerusi Facebook dengan seorang rakannya Daniele Couto berkata: “Dalam tempoh tiga tahun pembunuhnya akan kembali ke jalan raya semula.

“Memang tidak patut untuk seseorang kehilangan nyawa kerana tindakan orang lain.”

Sementara itu, ketua polis Macae, Filipi Poets berkata: “Dalam kejadian Sabtu lalu, kedua-dua wanita itu bertengkar dan keluar dari kenderaan mereka.

“Islay membawa keluar stilettonya dan mencalarkan kereta mangsa. Dia kemudian menikam Raquel tiga kali menyebabkan satu tikaman terkena jantung mangsa.

“Mangsa dibantu seorang doktor yang kebetulan memandu kereta di belakangnya sebelum dibawa ke hospital, namun malangnya dia gagal diselamatkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 1:58 AM