APLIKASI Tinder. FOTO AFP.
APLIKASI Tinder. FOTO AFP.
Agensi

Beijing: Golongan muda di China tidak lagi menjadikan aplikasi Tinder sebagai platform mencari pasangan semata, sebaliknya ruang untuk mencari pekerjaan disebabkan persaingan sengit dan kekurangan peluang pekerjaan.

Seorang pelajar sarjana di Shanghai, Jade Liang, 26, memanfaatkan aplikasi cari jodoh itu untuk berhubung dengan kenalan profesional.

"Saya hanya mahu berkenalan dengan individu yang terbabit dalam industri yang saya ingin sertai iaitu teknologi," katanya dilapor NBC News.

Menurutnya, dia memaklumkan mengenai niatnya dengan jelas kepada kenalan dalam talian itu dan mendapati, respons diterima sangat mengalukan.

Katanya, dia mula menjadikan Tinder sebagai laman mencari pekerjaan selepas melihat hantaran viral di aplikasi Xiaohongshu (platform menyamai Instagram dibangun China) yang memaklumkan memperoleh pekerjaan menerusi aplikasi janji temu China.

"Dengan menggunakan aplikasi temu janji, kita menjangkau lebih ramai orang. Biasanya, kita perlu tempoh masa untuk rapat dengan orang, namun dengan aplikasi ini, kita boleh dapat banyak maklumat hanya bergaul dengan orang tidak kita kenali selama beberapa jam," katanya.

Tinder antara banyak aplikasi asing yang disekat China, namun penduduk masih boleh mengakses menerusi rangkaian peribadi.

China bergelut dengan pengangguran dalam kalangan belia dengan 21.3 peratus direkod pada Jun tahun lalu.

Mengulas perkara itu, Tinder berkata, platform itu dibangun khusus untuk mencari pasangan dan mengeratkan hubungan peribadi, bukan perniagaan.

"Tinder bukan tempat untuk mempromosi perniagaan bagi menjana wang," kata jurucakap syarikat itu dalam kenyataan kepada NBC News.

Bagi Romy Liu yang sebelum ini bekerja untuk syarikat carian eksekutif di bandar Hangzhou, menerusi perspektif majikan, mencari peluang pekerjaan melalui Tinder memperlihatkan pemohon mempunyai 'kemahiran sosial yang kuat'.

"Saya berpandangan mereka yang boleh mendapat pekerjaan menerusi kaedah ini adalah sangat hebat," katanya.

Bagaimanapun katanya, bukan semua majikan melihat pendekatan cari kerja di Tinder sebagai baik.

Liu berkata, anda mungkin akan disenarai hitam jika majikan seperti syarikat berkaitan kerajaan mengetahui wujud pencarian kerja menerusi Tinder.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 3:16 PM