GOLONGAN usia 25 hingga 34 tahun lebih gemar menggunakan aplikasi mencari kenalan dan jodoh.
GOLONGAN usia 25 hingga 34 tahun lebih gemar menggunakan aplikasi mencari kenalan dan jodoh.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Mohammad Razis Ismail


Kuala Lumpur: Dalam lingkaran dunia digital hari ini, cinta sejati boleh ditemui hanya melalui satu leretan di gajet sahaja. 'Budaya' tingkah laku keluar bertemu janji juga jauh berubah sejak berakhirnya pandemik Covid-19.

Malah sikap 'malu dan malas' mencari kekasih di alam nyata menyebabkan golongan usia 25 hingga 34 tahun lebih gemar menggunakan aplikasi mencari kenalan dan jodoh.

Mereka yang belum berkahwin ini menggunakan kuasa teknologi dalam usaha memburu cinta dengan hampir 77.8 peratus memanfaatkan platform mencari jodoh untuk mencari pasangan hidup masing-masing.

Aplikasi untuk mencari jodoh berlandaskan Islam yang popular seperti Muzz, Salams dan BaitulJannah, adalah antara aplikasi paling kerap digunakan dalam kalangan orang Islam hari ini.

Pendedahan ini diperoleh daripada laporan penyelidikan unik yang bertajuk 'Match to Marriage' oleh agensi kreatif global, TBWA Asia.

Kajian itu dilaksanakan Halal Wave iaitu unit yang mengkaji mengkaji pengguna Islam yang berpangkalan di Malaysia.

Ia meneliti data diperolehi daripada 158,586 perbualan media sosial dan 16 temu bual dijalankan bermula tahun 2021 hingga 2023 merentasi lima negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Jerman dan United Kingdom.

Pengarah Strategi Halal Wave, TBWA\Asia yang juga Pengarang Penyelidik bagi laporan [Match to Marriage', Nazirah Ashari berkata, perubahan gaya hidup masyarakat hari ini mendorong golongan muda mahukan kebebasan untuk menentukan hala tuju kehidupan termasuk dalam memilih jodoh.

Namun katanya, perkembangan teknologi dunia digital menyaksikan golongan muda sukar untuk bertemu secara fizikal dan lebih banyak menghabiskan masa dengan gajet.

"Jadi jika berkawan secara berdepan pun sudah kekok dan susah, apa lagi nak mencari jodoh.

"Itu adalah cabaran generasi Z dan golongan Alpha hari ini yang kurang berkomunikasi secara fizikal dengan orang di sekeliling disebabkan sibuk dengan gajet.

"Disebabkan itu, untuk mencari pasangan hidup, ramai orang muda yang memilih menggunakan platform dating online dan aplikasi mencari jodoh," katanya Harian Metro.

Mengulas lanjut, Nazirah berkata, di Malaysia dan negara Asia Tenggara lain, kebanyakan pengguna yang mahu memulakan langkah ke gerbang perkahwinan lebih menggemari sesi taaruf sebelum mereka ke peringkat yang lebih serius.

Katanya, golongan muda hari ini juga dilengkapi dengan ilmu agama yang dapat diakses secara mudah menerusi internet.

"Apabila mereka mempunyai niat untuk mendirikan rumahtangga dan mempunyai ilmu agama, mereka biasanya tahu apa yang dimahukan dalam sesuatu perhubungan.

"Sebab itu, bagi yang beragama Islam, ramai memilih aplikasi atau laman web mencari jodoh yang lebih Islamik seperti BaitulJannah, TillJannah, Muzz, Muslina dan banyak lagi berbanding aplikasi dating seperti Tinder, kerana fokus mereka jelas iaitu serius mencari pasangan hidup," katanya.

Menurut Nazirah, perniagaan jodoh dalam talian juga semakin berkembang sejak penularan Covid-19 di mana seluruh dunia melaksanakan sekatan pergerakan dan perjalanan.

Ini kerana kebanyakan masa masyarakat hanya dihabiskan di rumah dan bersama gajet telekomunikasi.

"Bagi yang bujang, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mencari teman hidup secara atas talian.

"Jika mahu mencari teman hidup warga tempatan, laman web tempatan yang menjadi pilihan. Namun jika mahukan jodoh dari negara luar, mereka pasti menggunakan aplikasi global.

"Untuk menyiapkan kajian ini misalnya, kami mengkaji tiga pesona yang selalu 'mention' di laman sosial iaitu Akan Tiba Harinya, Insha Allah, Suatu Hari Nanti, Insha Allah dan Hari Ini, Insha Allah membabitkan pengguna dari Malaysia, Indonesia, Jerman, Singapura, United Kingdom dan banyak lagi," katanya mengakui ramai pengguna turut menyatakan kebimbangan risiko ditipu dalam temujanji mencari jodoh dalam talian.

Sementara itu, laporan terbabit juga mendapati bahawa usaha untuk mendirikan rumah tangga dalam kalangan orang Islam turut berdepan dengan cabaran.

Katanya, apabila wujud niat berbeza dalam kalangan orang Islam yang berjanji temu, mereka menyedari terdapat perubahan yang berlaku secara dalaman apabila masing-masing bersedia untuk berkahwin.

"Menerusi analisis yang mendalam terhadap data diperoleh melalui perbualan media sosial, laporan itu mengenal pasti lapan bentuk persediaan untuk berkahwin yang menyenaraikan kerohanian, sikap, persetujuan dan penerimaan keluarga, komunikasi, kewangan dan keselamatan, kesihatan, tempat tinggal selepas berkahwin dan acara nikah atau majlis perkahwinan.

"Oleh kerana orang Islam tinggal dan berinteraksi dalam latar belakang budaya yang berbeza, perbualan mengenai perkahwinan berbeza agama juga menjadi topik menarik," katanya.

'Tak perlu malu 'sunting ' lelaki

"Zaman kini bukan lagi seperti dulu yang boleh menunggu jodoh datang 'menyunting'. Sebaliknya wanita hari ini tidak perlu malu berusaha mencari pasangan hidup. Ikhtiar menggunakan platform atas talian juga adalah sebahagian usaha mencari jodoh dan tiada salahnya mencuba," ujar Hafiza Hasromi, 31.

Pegawai Tadbir dari Dungun, Terengganu itu berkata, dia menggunakan laman mencari jodoh dalam talian, BaitulJannah untuk berkenalan dengan suaminya, pegawai hidupan liar, Hanif Ismail, 31.

Hafiza berkata, dia memberanikan diri mendaftar di laman web mencari jodoh itu ketika negara sedang melaksanakan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika mula mendaftar dan membayar yuran komitmen, saya bimbang sekiranya calon ditemui tidak serius untuk berumahtangga.

"Sepanjang menggunakan laman cari jodoh berkenaan, saya tidak putus berdoa semoga Allah SWT permudahkan urusan memandangkan umur menghampiri 30 tahun.

"Alhamdulillah, sapaan suami akhir Januari 2021 untuk memulakan perkenalan akhirnya membawa kami ke gerbang perkahwinan," katanya.

Menurut Hafiza, semasa awal berkenalan, dia dan suami bersetuju memutuskan hubungan jika merasakan kurang serasi dan tidak yakin untuk ke peringkat seterusnya selepas tiga bulan.

"Selepas seminggu berkenalan di laman berkenaan, kami akhirnya mengambil keputusan untuk bertaaruf.

"Sepanjang bertaaruf, kami fokus untuk saling mengenali antara satu sama lain dan banyak berbincang mengenai perancangan kehidupan masing-masing.

"Selepas pertama kali bertemu pada akhir Mac 2021, kami mengambil keputusan untuk bertunang pada 28 Ogos dan diijabkabulkan pada 11 September tahun sama," katanya.

Tiada masa mengurat

Leka dengan media sosial selain faktor ketiadaan masa untuk mencari teman istimewa secara 'tradisional' mendorong ramai golongan muda di negara ini beralih kepada platform mencari jodoh dalam talian.

Ternyata gaya hidup golongan muda khususnya generasi Z kini amat bergantung kepada dunia digital hingga menyebabkan mereka kurang berkomunikasi secara verbal atau bersemuka.

Kebanyakan masa golongan ini dihabiskan dengan melayari internet menyebabkan mereka kurang melakukan aktiviti sosial.

Situasi ini menyebabkan ramai golongan muda mencari alternatif menggunakan aplikasi dalam talian untuk mencari pasangan hidup.

Di Malaysia, terdapat banyak laman sesawang tempatan menyediakan platform mencari pasangan hidup antaranya Baituljannah.com, Tilljannah.my Baitulmuslim.com, Carijodoh.com.my dan TamanSyurga.com. Manakala aplikasi Muzz pula adalah platform cari jodoh dalam talian di peringkat global.

Pengarah Urusan Baituljannah Sdn Bhd yang juga Pengasas Bersama Baituljannah.com, Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata, sehingga September 2023, jumlah keahlian yang berdaftar dengan laman sesawang itu adalah seramai 1.1 juta orang merangkumi dari Malaysia, Singapura dan Brunei.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 42 peratus atau 462,000 ahli adalah golongan muda berusia antara 24 hingga 35 tahun.

"Dari segi peratusan pula, 56 peratus daripada keseluruhan ahli adalah wanita," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dr Wan Hasifi lagi, bilangan pengguna yang berdaftar juga semakin meningkat sepanjang PKP dilaksanakan iaitu bermula Mac 2020 hingga Disember 2021.

Katanya, terdapat peningkatan sekitar 500,000 pendaftaran dalam tempoh berkenaan dan ia terus meningkat

"Dari segi latar belakang pekerjaan wanita pula, pengguna tertinggi yang berdaftar adalah daripada bidang pendidikan dan latihan iaitu sebanyak 13.46 peratus diikuti penjawat awam merangkumi 12.74 peratus.

"Golongan wanita yang bekerja dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan sumber manusia pula di kedudukan ketiga iaitu sebanyak 10.98 peratus.

"Manakala wanita yang bekerja dalam bidang kesihatan, perubatan dan farmasi pula di kedudukan keempat tertinggi berdaftar dengan Baituljannah iaitu sebanyak 8.11 peratus," katanya.

Bagi golongan lelaki pula katanya, pekerja dalam bidang kejuruteraan berada di kedudukan pertama iaitu sebanyak 10.56 peratus diikuti oleh penjawat awam sebanyak 9.54 peratus.

"Golongan pekerja dalam bidang industri proses dan perkilangan di kedudukan ketiga iaitu sebanyak 9.09 peratus manakala badan beruniform di tempat keempat sebanyak 6.72 peratus," katanya.

Berdasarkan pemerhatian di laman sesawang itu, Dr Wan Hasifi berkata, terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan pendaftaran mencari jodoh dalam talian.

"Antaranya peralihan gaya kerja di pejabat kepada peralihan kerja dari rumah yang membawa perubahan besar dalam cara masyarakat berinteraksi dan bersilaturrahim.

Menurutnya, kurangnya interaksi sosial itu turut menyumbang kepada peningkatan pendaftaran mencari jodoh dalam talian.

"Pada masa sama kos hidup yang tinggi menyebabkan ramai terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan dalam satu masa.

"Semua faktor itu menyebabkan kurangnya masa untuk mencari jodoh justeru kehadiran platform cari jodoh seperti Baituljannah dapat membantu mereka mencari jodoh dengan lebih mudah dalam ekosistem yang selamat," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai aspek keselamatan ahli terutama wanita ketika menggunakan platform berkenaan, Pengarah Operasinya, Wan Nuradila Huda Wan Zaidon berkata, sebelum pengguna mendaftar di platform berkenaan, mereka terlebih dahulu dimaklumkan bahawa setiap perbualan akan dipantau oleh pentadbir (admin).

Jelasnya, admin itu akan bertindak sebagai peneman atau [chaperone' bagi mengelakkan sebarang kecenderungan terhadap gangguan moral.

"Pengguna juga boleh melantik ibu atau bapa atau penjaga mereka sebagai 'chaperone' dalam perbualan.

"Kami mempunyai sistem yang tidak membenarkan pengguna bertukar nombor telefon dan media sosial, "katanya.

Wan Nuradila berkata, di dalam ruangan chat platform itu pula, terdapat meter yang dipanggil sebagai Meter Keserasian.

Sekiranya meter itu mencecah 100 peratus, terdapat satu borang yang dipanggil Borang Taaruf Luar akan dipaparkan.

Katanya, dengan borang itu, pengguna boleh bertukar nombor telefon dengan syarat mereka mestilah mengesahkan akaun terlebih dahulu dengan melakukan swafoto bersama kad pengenalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 12:00 PM