A MUTHALIB menunjukkan pengalaman kerja atau lencana kemahiran yang dimuatkan ke akaun pengguna menerus aplikasi Hyred. FOTO Azhar Ramli
A MUTHALIB menunjukkan pengalaman kerja atau lencana kemahiran yang dimuatkan ke akaun pengguna menerus aplikasi Hyred. FOTO Azhar Ramli
Fazurawati Che Lah


APLIKASI mudah alih Hyred membuka peluang kepada majikan dan pekerja mencari serta menawarkan pekerjaan sambilan, selain membantu meningkatkan kemahiran insaniah masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Get Hyred, A Muthalib Zulkarnain berkata, sehingga kini terdapat 21,000 pengguna menggunakan aplikasi itu yang dilancarkan Disember lalu.

Daripada jumlah itu, 90 peratus adalah belia yang berumur 30 tahun ke bawah yang aktif mencari pekerjaan termasuk penuntut universiti.

Katanya, sejajar dengan keperluan negara untuk meningkatkan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan pekerja, Hyred menjadi platform untuk mencungkil bakat itu.

“Dalam aplikasi ini, pengiktirafan pengalaman kerja akan dimuat naik majikan ke dalam akaun pengguna yang dikenali ‘lencana kemahiran’.

“Lencana kemahiran yang dikumpul ini dapat menyenaraikan dari mana ia diperoleh dan dijadikan rujukan kepada majikan sekiranya ingin memohon kerja di tempat lain,” katanya.

Katanya, majikan tidak perlu risau untuk menawarkan pekerjaan melalui aplikasi Hyred kerana caj dikenakan hanyalah RM1 bagi setiap kod imbasan QR iaitu ketika mereka hadir pada hari bekerja.

“Hyred bukan sahaja boleh digunakan majikan yang mempunyai perniagaan, malah turut memudahkan komuniti kejiranan yang mahu mencari pekerja termasuk potong rumput, pengasuh, mengemas rumah dan sebagainya.

“Menariknya, aplikasi ini memberi pendedahan berkaitan peningkatan kemahiran, mempunyai mesin perakam waktu dalam aplikasi dan hanya dikenakan bayaran RM1 bagi setiap imbasan kod QR. Selagi tiada imbasan, tiada bayaran dikenakan,” katanya.

A Muthalib berkata, majikan yang menggunakan Hyred dalam mencari pekerja didapati dapat menjimatkan kos sebanyak 80 peratus dan membantu menyelesaikan kadar pusing ganti (turnover) pekerja sambilan dan kebergantungan kepada pekerja asing.

Katanya, sehingga kini sebanyak 60 majikan menggunakan aplikasi itu untuk mencari pekerja sambilan.

“Sambutan daripada pelajar universiti terhadap aplikasi Hyred sangat memberangsangkan dan kami dapati hampir 90 peratus adalah yang berumur 30 tahun ke bawah.

“Menerusi Hyred, pencari kerja bukan sahaja mendapat ganjaran atau upah tetapi sesuatu yang tidak ternilai iaitu prestasi perkembangan lencana kemahiran direkodkan secara gamifikasi,” katanya.

Katanya, Hyred adalah satu aplikasi yang pertama bukan saja menawarkan ‘wang ringgit’ kepada pekerja tetapi turut ditambah baik dengan merekod perkembangan kemahiran, pengalaman dan juga rangkaian kawan yang mempunyai minat sama.

“Pengguna juga tidak perlu risau kerana pada masa sama, maklumat peribadi tidak didedahkan kepada umum.

“Malah, sebarang bentuk pekerjaan yang ditawarkan majikan turut ditapis bagi mengelakkan berlaku penipuan,” katanya yang ditemui di ibu pejabat Get Hyred Sdn Bhd di Bandar Puteri, Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 9:42 AM