MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
Agensi

Kuala Lumpur: Arab Saudi kelmarin melancarkan aplikasi permohonan visa elektronik bagi jemaah yang merancang untuk menunaikan umrah.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Fauzan ar-Rabiah berkata, menerusi aplikasi berkenaan, visa akan dikeluarkan dalam masa 24 jam selepas permohonan dilakukan.

"Kita mengambil inisiatif untuk melanjutkan tempoh visa daripada satu bulan kepada tiga bulan.

"Jemaah yang datang untuk menunaikan umrah juga boleh melawat bandar-bandar lain di Arab Saudi tanpa sebarang sekatan," katanya memetik laporan Alarabiya News.

Menurutnya, aplikasi itu juga membolehkan jemaah haji mencari penginapan dan mengatur pengangkutan.

Katanya, pihak kementerian akan terus berusaha untuk membangunkan perkhidmatan haji dan umrah yang merupakan satu daripada matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi.

Dalam perkembangan berkaitan, Tawfiq Fauzan berkata, Arab Saudi komited untuk melindungi jemaah daripada Covid-19 selepas membuat keputusan untuk membenarkan satu juta jemaah haji tahun ini.

"Kami sedia maklum terdapat banyak permohonan haji tahun ini, tetapi keselamatan jemaah adalah keutamaan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 7:53 PM