TENTERA Israel mendakwa menemukan terowong di bawah Hospital Al-Shifa di Gaza. FOTO IDF/ Reuters
TENTERA Israel mendakwa menemukan terowong di bawah Hospital Al-Shifa di Gaza. FOTO IDF/ Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel mendakwa menemukan terowong di bawah Hospital Al-Shifa di Gaza meliputi jarak 55 meter (m) di bawah kompleks perubatan itu, ketika rejim zionis menjalankan operasi besar-besaran ke atas hospital berkenaan.

"Tentera Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendedahkan terowong sepanjang 55 m (dengan) kedalaman 10 m di bawah kompleks Hospital Al-Shifa. Ia ada di bawah hospital dan berakhir di pintu letupan," kata satu kenyataan tentera Israel pada Ahad.

Hospital Al-Shifa menjadi pusat tumpuan bagi operasi Israel, dengan tentera mendakwa Hamas menggunakannya sebagai pangkalan. Penguasa di Hamas Gaza dan kakitangan perubatan di hospital menafikan tuduhan itu.

Jurucakap tentera, Daniel Hagari memberitahu pemberita, pintu masuk terowong itu terbongkar apabila jentolak tentera menumbangkan dinding luar kompleks hospital dan menemui akses kawalan integrasi atau syaf yang lengkap berkubu dengan tangga lingkaran 10 m.

"Ia besar dan mempunyai tangga logam, kemudian ia berjalan sepanjang 55 m dan mencapai pintu letupan," kata Hagari.

Beliau menambah bahawa pihak tentera masih belum cuba membuka pintu itu kerana bimbang akan ada jerangkap.

Katanya, pihak risikan mencadangkan sama ada terowong itu akan terbelah atau akan ada 'bilik besar untuk perintah dan kawalan'.

"Tentera akan terus melakukan pencarian kawasan itu kerana mungkin terdapat syaf akses dari rumah berdekatan," katanya.

Hagari mendakwa tentera turut menemukan sebuah trak pikap Toyota berwarna putih mengandungi roket pelancar grenad (RPG), bahan letupan, bom tangan dan AK47 di perkarangan hospital yang dikatakan 'sama' dengan yang digunakan oleh pejuang Hamas ketika mereka menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.

Apabila tentera mula-mula memasuki Hospital Al-Shifa pada Rabu, terdapat "kira-kira 2,000 orang di dalam", dakwa Hagari, sambil dia menyifatkan kompleks hospital besar itu meliputi kawasan seluas "lebih 20 ekar", atau lapan hektar.

Operasi ketenteraan di Hospital Al-Shifa mendapat kecaman antarabangsa dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan hospital itu sebagai 'zon kematian' selepas menghantar satu pasukannya untuk melawat kemudahan perubatan berkenaan pada Sabtu.

Lawatan itu dibuat selepas ratusan orang melarikan diri dari hospital itu berikutan apa yang dikatakan pengarah Hospital Al-Shifa sebagai arahan tentera Israel supaya ia dikosongkan.

Seorang wartawan AFP melihat orang ramai yang sakit, cedera dan kehilangan tempat tinggal melarikan diri keluar dari Hospital Al-Shifa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 10:42 AM