FOTO pada 29 November 2023 menunjukkan petugas UNRWA mengagihkan beg gandum kepada orang ramai. FOTO Reuters
FOTO pada 29 November 2023 menunjukkan petugas UNRWA mengagihkan beg gandum kepada orang ramai. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Keputusan sembilan negara untuk menggantung pembiayaan terhadap Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA), susulan dakwaan kakitangannya terbabit dalam serangan ke atas Israel, 7 Oktober, adalah mengejutkan.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan berkata, perkara itu mengganggu kerja kemanusiaan mereka.

"Keputusan ini mengancam kerja kemanusiaan kami yang berterusan di seluruh rantau terutamanya di Semenanjung Gaza," katanya seperti dilaporkan Reuters.

Dalam pada itu, AFP melaporkan seorang menteri Israel berkata, pihaknya berusaha menghentikan UNRWA daripada beroperasi di Gaza selepas perang.

Ia selepas Israel menuduh beberapa kakitangan UNRWA terbabit dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

Menteri Luar Israel Israel Katz di X (dahulunya Twitter) berkata, pihaknya mahu memastikan UNRWA tidak akan menjadi sebahagian daripada pascaperang di Gaza, selain akan cuba mengumpulkan sokongan daripada Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Negara Eropah (EU) dan penderma utama lain kepada agensi itu.

UNRWA sudah memecat beberapa pekerja yang dituduh Israel terbabit dalam serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Selain itu, Lazzarini berikrar akan bertanggungjawab termasuk melalui pendakwaan jenayah ke atas mana-mana pekerja UNRWA yang didapati mengambil bahagian dalam tindakan keganasan.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres iaitu Stephane Dujarric pula berkata, pihaknya berjanji untuk menjalankan semakan bebas dengan segera dan menyeluruh terhadap UNRWA.

Jabatan Negara AS berkata, mereka sudah menghentikan sementara pembiayaan tambahan kepada agensi itu semasa ia menyemak tuntutan serta rancangan PBB untuk menangani kebimbangan.

Australia dan Kanada juga berkata, mereka menggantung pembiayaan kepada agensi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 10:31 AM