Allahyarham Ismail Md Taib, 75, Imam Masjid Al Falah, Kampung Bukit Nambua yang meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah agama selepas solat Maghrib di masjid itu, malam tadi. FOTO IHSAN Pembaca
Allahyarham Ismail Md Taib, 75, Imam Masjid Al Falah, Kampung Bukit Nambua yang meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah agama selepas solat Maghrib di masjid itu, malam tadi. FOTO IHSAN Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Nerang: Seorang imam meninggal dunia selepas rebah ketika menyampaikan kuliah agama di Masjid Al Falah, Kampung Bukit Nambua, di sini malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Ismail Md Taib, 75, atau dikenali sebagai Paksu Eil disahkan meninggal dunia selepas solat Maghrib di masjid berkenaan sekitar jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, mangsa tiba-tiba rebah sewaktu menyampaikan kuliah agama dan ketika itu anaknya ada bersama.

Beliau berkata, warga emas itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

"Namun, dia mempunyai rekod masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.

"Warga emas itu meninggal dunia disebabkan sakit tua dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, anaknya, Muhammad Faiz Helmi, 32, berkata, kejadian berlaku sewaktu bapanya sedang menyampaikan kuliah agama di hadapan lebih 40 jemaah di masjid itu.

Katanya, kejadian berlaku sewaktu bapanya sedang mengajar namun tiba-tiba dia terdiam.

"Ketika itu suasana menjadi sepi sebelum arwah yang duduk di ruang hadapan saf rebah ke kiri. Saya dan ahli jemaah lain bergegas ke situ dan dimaklumkan arwah sudah tidak bernyawa sebelum membawanya ke Hospital Kuala Nerang.

"Bagaimanapun doktor mengesahkan ayah meninggal dunia di situ," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, abangnya, Tajul Afkar, 44, berkata, bapanya itu sering mengajar kitab di masjid berkenaan pada setiap malam Rabu.

Katanya, sejak berhenti mengajar sekolah agama, arwah bapanya aktif mengajar kitab di mana-mana sahaja namun apabila berusia 70-an ini arwah banyak menumpukan perhatian di masjid itu sahaja dan surau berdekatan kerana masalah kesihatan.

"Arwah bapa juga menghidap penyakit tiga serangkai.

"Ketika kejadian, saya berada di rumah dan rakan arwah ada memberitahu bapa mengadu sakit dada sebelum memulakan kuliah selepas Maghrib itu namun arwah tetap mahu meneruskan kuliah itu juga," katanya.

Jenazah Allahyarham Ismail selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di masjid berkenaan jam 11 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 5:44 PM