LORI bantuan tertera logo UNRWA ketika memasuki Gaza dari Mesir. FOTO Reuters
LORI bantuan tertera logo UNRWA ketika memasuki Gaza dari Mesir. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) sudah memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan untuk pelarian di Palestin sejak 1949.

UNRWA yang dibiayai hampir keseluruhannya menerusi sumbangan sukarela daripada pelbagai negara, sudah lama dikritik oleh Israel.

Agensi itu pada Jumaat berkata, pihaknya sudah memecat beberapa kakitangan yang dituduh Israel terbabit dalam serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Malah, UNRWA turut menjanjikan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan yang tidak dinyatakan itu.

Agensi itu ditubuhkan pada Perhimpunan Agung PBB selepas konflik Arab-Israel pertama, yang tercetus sejurus selepas penubuhan Israel pada Mei 1948.

Agensi itu membekalkan bantuan kemanusiaan dan perlindungan untuk pelarian Palestin di Jordan, Lubnan, Syria, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, sementara menunggu penyelesaian yang adil dan berkekalan untuk nasib mereka.

Agensi itu dalam perkongsian mereka di laman web rasmi UNRWA berkata, pelarian Palestin ialah orang yang tempat kediamannya adalah Palestin dalam tempoh 1 Jun 1946 hingga 15 Mei 1948, dan yang kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian akibat konflik 1948.

Malah, keturunan mereka juga mempunyai status pelarian.

Ketika penubuhannya, UNRWA memberi perkhidmatan kepada kira-kira 750,000 pelarian Palestin. Kini, ia meliputi kira-kira 5.9 juta rakyat Palestin yang berdaftar dengan UNRWA dan mereka boleh mengakses penjagaan kesihatan, perkhidmatan sosial, kewangan mikro dan bantuan kecemasan, termasuk semasa konflik bersenjata.

Agensi itu juga menguruskan sejumlah 60 kem pelarian, 19 daripadanya di Tebing Barat, yang diduduki oleh Israel sejak 1967.

Paling mendapat perhatian adalah lebih 540,000 kanak-kanak belajar di sekolah kendalian UNRWA.

Di Semenanjung Gaza, yang dikuasai Hamas sejak 2007, situasi kemanusiaan sudah kritikal sebelum perang antara Israel dan Hamas bermula pada 7 Oktober tahun lalu.

Menurut data PBB dari Ogos, 63 peratus penduduk Gaza mengalami masalah kekurangan makanan dan bergantung kepada bantuan antarabangsa, manakala, lebih 80 peratus hidup di bawah paras kemiskinan.

Wilayah itu, yang dihimpit antara Israel, Mesir dan Laut Mediterranean, menempatkan lapan kem dan kira-kira 1.7 juta pelarian, majoriti besar daripada penduduknya yang berjumlah 2.4 juta, menurut PBB.

Antara 30,000 orang yang bekerja di UNRWA, 13,000 bekerja di Semenanjung Gaza, merentasi 300 kem di kawasan seluas 365 kilometer persegi, menurut laman web UNRWA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 4:04 PM