KAPAL Open Arms akan menunda tongkang membawa bantuan makanan di Gaza. FOTO AFP
KAPAL Open Arms akan menunda tongkang membawa bantuan makanan di Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Kapal Sepanyol yang membawa 200 tan bantuan makanan untuk penduduk Gaza berlepas dari pelabuhan Larnaca, Cyprus, semalam.

Kapal amal, Open Arms, dilihat belayar keluar dari pelabuhan itu dengan menunda tongkang berisi bahan makanan termasuk tepung dan beras itu.

Misi itu turut membawa harapan supaya koridor kemanusiaan maritim terbuka untuk membawa bantuan yang amat diperlukan ke wilayah Palestin yang dilanda perang itu.

Pelayaran kapal amal di Laut Mediterranean itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan akses bantuan ke Gaza. Ini kerana aliran trak bantuan menerusi jalan darat semakin perlahan akibat sekatan Israel.

Keadaan semakin teruk selepas lebih lima bulan perang yang menyaksikan pencerobohan berterusan Israel di Gaza.

Angka kematian penduduk Gaza akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi meningkat kepada 27 orang, selepas dua kanak-kanak di Gaza meninggal dunia akibat kebuluran, Kementerian Kesihatan Gaza.

Dalam pada itu, Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini menggesa gencatan senjata "demi kanak-kanak di Gaza".

Sehingga kini tidak nampak bayang gencatan senjata walaupun Hamas terbuka dengan sebarang rundingan senjata berhubung perkara itu.

Dalam catatan di platform media sosial X, Lazzarini memetik angka dikeluarkan PBB dan kementerian kesihatan Gaza yang mendapati lebih ramai kanak-kanak terbunuh di wilayah itu, antara tempoh Oktober 2023 dan Februari lalu.

Ia melebihi daripada gabungan jumlah kanak-kanak yang terbunuh dalam empat tahun peperangan di seluruh dunia.

"Perang ini adalah perang terhadap kanak-kanak," kata Lazzarini.

Dalam pada itu, tentera Amerika Syarikat (AS) berkata pihaknya secara berasingan pada Selasa menghantar bantuan yang digugurkan dari udara di utara Gaza, bersama-sama Tentera Udara Jordan.

Dalam pada itu, pengeboman hebat Israel sekali lagi menghujani Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya 80 orang semalaman antara Isnin-Selasa, kata kementerian kesihatan wilayah itu.

Tentera Israel berkata, tenteranya menyerbu sasaran di seluruh Gaza termasuk kawasan tentera di bandar utama di selatan Khan Younis.

Perang sejak serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel meratakan sebahagian besar wilayah itu dan mencetuskan kekurangan makanan yang teruk yang menyebabkan Program Makanan Sedunia PBB memberi amaran "kebuluran akan berlaku" di utara Gaza.

Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah Josep Borrell memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa "kebuluran digunakan sebagai senjata perang".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 12:06 PM