ANTARA yang terbunuh dalam kejadian Jumaat lalu di Kem Pelarian al_Fara. FOTO Agensi
ANTARA yang terbunuh dalam kejadian Jumaat lalu di Kem Pelarian al_Fara. FOTO Agensi
Bernama-Wafa

Tubas, Palestin: Penduduk Kem Pelarian al-Fara yang terletak di selatan Tubas, sebuah bandar di timur laut Tebing Barat, Palestin pada Jumaat lalu dikejutkan dengan serangan hendap tentera Israel, yang mana penduduk disifatkan sebagai serangan paling berdarah di Tebing Barat.

Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan, serangan hendap itu mengakibatkan enam penduduk maut, manakala sembilan lagi cedera apabila tentera Israel mengepung kem mereka kira-kira jam sembilan pagi sebelum melepaskan tembakan rambang ke arah kem tersebut.

Menurut Khalid Mansour, seorang aktivis dan penduduk kem al-Fara, "Selepas mengelilingi kem itu, beberapa penembak tepat memanjat bumbung bangunan berhampiran termasuk kompleks perubatan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

"Mereka kemudian melepaskan tembakan sewenang-wenangnya ke arah kami membunuh enam orang."

"Tentera Israel sering menyasarkan kem pelarian memandangkan kem ini sesak dengan penduduk Palestin", katanya.

Kem Pelarian al-Fara yang diasaskan pada 1949 menempatkan seramai 6,350 orang pelarian berdasarkan data Pusat Perangkaan Palestin pada pertengahan tahun ini.

Khalid menjelaskan, dalam kalangan mereka yang maut, ada yang dibunuh semata-mata kerana ingin keluar melihat apa yang berlaku di sekitar rumah mereka dan ada yang terbunuh ketika cuba menarik jirannya yang mati ditembak di hadapan rumahnya.

"Paling menyedihkan mangsa paling muda dalam kalangan mereka ialah Mahir Abdullah Jawabirah, 14, iaitu anak saudara kepada Mahir Jawabirah yang terbunuh bersama enam lagi mangsa ketika permulaan Intifada al-Aqsa pada 2001 apabila tentera Israel membedil kawasan itu. berhampiran kem pelarian yang sama," katanya.

Seorang lagi penduduk kem tersebut, Ummu Muhammad mengesahkan bahawa serangan ini adalah yang paling dahsyat dan berbahaya berbanding serangan sebelum ini.

"Selain menembak sewenang-wenangnya, tentera Israel juga sengaja merosakkan harta benda kita terutama kenderaan. Ada yang penuh dengan peluru, ada yang terbakar sepenuhnya," katanya.

Sebelum ini, tentera Israel telah menyasarkan kem pelarian lain di Tebing Barat termasuk Kem Jenin, Tulkarm, Nur Shams dan Aqabat Jaber, menjadikan Kem al-Fara episod baharu dalam siri serangan Israel yang dirancang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:20 PM