POLIS dan tentera Israel berkawal di stesen minyak di Eli, salah satu penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, susulan kejadian empat orang ditembak mati. FOTO AFP
POLIS dan tentera Israel berkawal di stesen minyak di Eli, salah satu penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, susulan kejadian empat orang ditembak mati. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Empat orang terbunuh selepas ditembak berhampiran sebuah penempatan di Tebing Barat.

Ia kejadian terbaharu selepas serbuan di Tebing Barat yang menyaksikan enam penduduk Palestin, maut.

Penduduk serta datuk bandar memberitahu AFP, kira-kira 100 peneroka haram Israel menyerang penduduk dan membakar tanah ladang di Huwara, berhampiran Nablus.

Tinjauan AFP di tempat kejadian mendapati, kebun zaitun terbakar, manakala seorang jurugambar AFP melihat pegawai polis Israel memeriksa mayat dengan kawasan di sekitar stesen minyak dan restoran bersebelahan, ditutup dengan pita polis.

Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, puluhan orang cedera dalam insiden terbaharu yang berlaku, semalam.

Serangan peneroka haram lain dilaporkan berlaku di Al-Lubban al-Sharqiya, berdekatan Eli dan di Beit Furik, sebuah lagi bandar di utara Tebing Barat, pada waktu petang.

Menurut Jurucakap Jabatan Kecemasan Israel Magen David Adom (MDA), empat lagi individu lain cedera.

"Pegawai perubatan kita mengesahkan empat maut, tetapi kerakyatan mereka masih belum dikenal pasti," katanya.

Jurucakap tentera Israel berkata, kejadian itu bermula apabila seorang individu awam 'meneutralkan' salah seorang individu.

Katanya, pasukan keselamatan Israel mencari dan 'meneutralkan' penyerang kedua yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan kereta curi, berhampiran bandar Tubas di bahagian utara.

Jurucakap kumpulan pejuang Hamas, Hazem Qassem, menyifatkan tembakan semalam itu sebagai tindak balas terhadap jenayah pendudukan (Israel) di Jenin dan tempat lain.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, tentera bekerja di lapangan untuk menyelesaikan kes dengan pembunuh.

Tembakan itu berlaku sehari selepas tentera Israel melancarkan serbuan di bandar Jenin, Tebing Barat, sekali gus menyebabkan enam rakyat Palestin terbunuh.

Serangan tembakan tahun ini mengorbankan sekurang-kurangnya 166 rakyat Palestin, 21 warga Israel, seorang warga Ukraine dan seorang warga Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 11:02 AM