ASAP tebal dari tayar yang dibakar ketika pertempuran antara penduduk Israel dan tentera zionis di bandar Nablus. FOTO AFP
ASAP tebal dari tayar yang dibakar ketika pertempuran antara penduduk Israel dan tentera zionis di bandar Nablus. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Seorang remaja Palestin ditembak mati oleh tentera Israel dalam pertempuran yang tercetus ketika serbuan Yahudi ke Tebing barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin, hari ini.

Kementerian itu mengenal pasti mangsa sebagai Ghaith Yamin, 16, yang meninggal dunia akibat kecederaan di kepala selepas ditembak oleh tentera Israel semasa pertempuran berhampiran Makam Nabi Yusuf AS di luar bandar utara, Nablus.

Kumpulan Jihad Islam mengeluarkan kenyataan memuji serangan hendap pejuangnya terhadap tentera Israel dengan mengatakan terdapat pertukaran tembakan antara kedua-dua pihak.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pegawai perubatannya merawat empat mangsa cedera terkena peluru getah dan 36 individu terhidu gas pemedih mata, serta seorang lagi yang terjatuh semasa pertempuran.

Ketegangan memuncak di Tebing Barat, sejak tiga bulan lalu, yang menyaksikan tentera rejim menahan penduduk Palestin.

Ia juga menyebabkan pertempuran kedua-dua pihak.

Seramai 19 individu, majoritinya orang awam termasuk 18 lagi di dalam Israel dan seorang peneroka haram Yahudi di Tebing Barat, terbunuh dalam serangan oleh penduduk Palestin dan Arab Israel, sejak akhir Mac.

Pasukan keselamatan Israel bertindak balas dengan serbuan di dalam Israel dan Tebing Barat, khususnya di daerah utara Jenin.

Tiga penduduk Arab Israel dan seorang komando polis dilaporkan maut.

Selain itu, 34 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat termasuk seorang wartawan yang membuat liputan di Jenin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 3:35 PM