Reuters

Baitulmaqdis: Tentera Israel berundur dari bandar Jenin semalam, selepas melaksana operasi ketenteraan antara yang terbesar di Tebing Barat sejak bertahun.

Dua saksi Reuters berkata, mereka melihat konvoi kenderaan tentera Israel meninggalkan Jenin pada malam Selasa, menandakan penamatan operasi yang bermula awal Isnin.

Penduduk yang mengosongkan kem ketika pertempuran berlaku, mula kembali melalui jalan gelap dan ada yang meninjau kerosakan berbekal cahaya daripada lampu telefon bimbit.

Seramai 12 rakyat Palestin dengan sekurang-kurangnya lima daripadanya pejuang, dan seorang askar Israel terbunuh.

TENTERA Israel melaksana operasi besar-besaran di kem Jenin, wilayah diduduki Tebing Barat sejak Isnin. FOTO Reuters.
TENTERA Israel melaksana operasi besar-besaran di kem Jenin, wilayah diduduki Tebing Barat sejak Isnin. FOTO Reuters.

Operasi yang didakwa Israel bertujuan untuk memusnahkan infrastruktur pejuang dan senjata di kem pelarian Jenin, menggunakan serangan dron selain kerahan lebih 1,000 tentera.

Kem Jenin yang padat penduduk, dengan kira-kira 14,000 orang tinggal di kawasan kurang setengah kilometer persegi, telah menjadi tumpuan gelombang keganasan di Tebing Barat selama lebih setahun.

Operasi ketenteraan itu yang disifatkan sumber keselamatan Palestin sebagai paling ganas sejak 2002 turut mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Beberapa jam selepas pengunduran itu, pejuang Gaza melancarkan lima roket ke arah tentera Israel.

Tentera rejim berkata, roket itu berjaya dipintas pihaknya dan tiada kematian dilapor setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 12:07 PM