PENDUDUK
PENDUDUK
Reuters

Gaza: Qatar yang memainkan peranan penting sebagai orang tengah antara Israel dan Palestin menjelaskan rundingan masih diteruskan untuk mengembalikan tindakan gencatan senjata, tetapi pengeboman semula oleh Israel ke atas Gaza merumitkan keadaan.

Di utara Gaza, sebelum ini zon perang utama, kepulan asap dilihat menjulang dari runtuhan, yang dapat dilihat dari seberang pagar di wilayah diduduki Israel.

Bunyi tembakan dan letupan kedengaran di samping bunyi anjing yang menyalak.

Penduduk dan pegawai Hamas berkata pejuangnya yang dilengkapi pelancar bom tangan roket bertempur dengan tentera dan kereta kebal Israel di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di bandar Gaza di utara.

Siren berbunyi di seluruh selatan Israel ketika pejuang Hamas melancarkan roket dari kawasan pantai ke bandar.

Hamas berkata ia telah mensasarkan Tel Aviv, tetapi tiada laporan kematian atau kerosakan di sana.

Terdapat korban yang dilaporkan di selatan Lubnan, satu lagi titik konflik bagi Israel.

Seorang pegawai Lubnan berkata, tembakan Israel membunuh tiga mangsa pada hari Jumaat.

Pejuang Hizbullah Lubnan yang disokong Iran, berkata kumpulan itu sudah melakukan beberapa serangan ke atas kedudukan tentera Israel di sempadan untuk menyokong rakyat Palestin.

Tentera Israel berkata artilerinya mengenai sumber tembakan dari Lubnan dan pertahanan udaranya memintas dua pelancaran roket.

Reuters tidak dapat mengesahkan daripada mana-mana pihak di medan perang itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) menyalahkan Hamas atas pertempuran yang diperbaharui dengan mendakwa Hamas gagal menyediakan senarai tebusan baharu untuk dibebaskan.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken yang mengakhiri lawatan ke rantau itu mendakwa Hamas sudah mula menembak roket sebelum jeda kemanusiaan tamat, melakukan serangan tembakan maut di Baitulmaqdis pada Khamis dan tidak melaksanakan komitmen terhadap tebusan.

Hamas menuduh Washington memberi lampu hijau untuk perang pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik dilakukan Israel.

"Hari ini, ia (AS) dengan beraninya mengulangi pembohongan Zionis apabila menganggap Hamas yang bertanggungjawab meneruskan perang dan tidak melanjutkan gencatan senjata kemanusiaan," kata Hamas dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 11:23 AM