KONVOI membawa tebusan yang dibebaskan Hamas tida di sebuah pusat perubatan di Ramat Gan, Israel. FOTO AFP
KONVOI membawa tebusan yang dibebaskan Hamas tida di sebuah pusat perubatan di Ramat Gan, Israel. FOTO AFP
AFP

Gaza: Pejuang Hamas membebaskan kumpulan kedua orang awam Israel dan warga asing yang dijadikan tebusan di Gaza sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, selepas penangguhan selama berjam-jam, pada Sabtu.

Pihak berkuasa Israel berkata, 13 warga mereka dan empat warga Thailand, kembali ke Israel.

Pengumuman bersama oleh tentera Israel dan perkhidmatan keselamatan Shin Bet dibuat selepas pejabat perdana menteri, dalam satu kenyataan berkata, kerajaan sudah menerima 17 tebusan membabitkan 13 rakyat Israel dan empat warga Thailand.

Sayap bersenjata Hamas berkata, mereka sebelum ini sudah menyerahkan 13 warga Israel dan tujuh warga asing kepada Palang Merah.

Pembebasan kumpulan kedua itu dibuat beberapa jam selepas Hamas menuduh Israel melanggar perjanjian pertukaran, namun dakwaan itu dinafikan oleh pegawai Israel.

Kelewatan yang tidak dijangka itu menyebabkan rasa sakit hati dalam kalangan saudara-mara ketika pengantara Qatar dan Mesir menangani kebimbangan kumpulan pejuang itu.

Israel didakwa campur tangan dalam pemilihan tahanan untuk dibebaskan dan tidak membenarkan bantuan sampai kepada orang awam di utara Gaza semasa gencatan senjata selama empat hari.

Hamas berkata, pihaknya bertindak balas secara positif kepada pengantara Mesir dan Qatar, selepas mereka menyampaikan janji Israel untuk menegakkan semua syarat perjanjian itu.

Sebelumnya, Qatar berkata, dalam pertukaran kedua gencatan senjata itu, 13 tebusan Israel iaitu lapan kanak-kanak dan lima wanita akan dibebaskan sebagai balasan kepada 39 banduan Palestin membabitkan 33 kanak-kanak dan enam wanita.

Malah, Jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed Al Ansari menerusi ciapan di aplikasi X (dahulunya Twitter), tujuh warga asing yang ditahan di Gaza juga akan dibebaskan.

Terdahulu, Hamas menuduh tentera Israel menghalang bantuan daripada sampai ke utara Gaza, pusat utama operasinya, di mana tentera melarang orang awam pulang semasa gencatan senjata yang bermula awal Jumaat.

Namun, pegawai Israel menafikan sebarang pelanggaran syarat jeda.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berkata, beberapa insiden yang dilaporkan pada Jumaat yang mana pasukan Israel melepaskan tembakan dan melemparkan gas pemedih mata ke arah orang ramai yang menuju ke utara.

Dilaporkan, sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh, dan berpuluh-puluh cedera.

Kementerian kesihatan Hamas di Gaza berkata, tujuh orang cedera dalam kejadian serupa pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 9:50 AM