ASAP tebal dari kebakaran susulan serangan di Gaza pada 9 Oktober. FOTO Reuters
ASAP tebal dari kebakaran susulan serangan di Gaza pada 9 Oktober. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Kumpulan pejuang Hamas yang berjaya mendapat kira-kira 150 tebusan dalam serangan mengejut pada hujung minggu ke atas selatan Israel, mengancam pada Isnin untuk membunuh tebusan, jika serangan udara rejim zionis terus menyasarkan penduduk Gaza.

Ancaman itu selepas Israel mengenakan kepungan menyeluruh di Semenanjung Gaza, memutuskan bekalan air yang mencetuskan kebimbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi kemanusiaan yang semakin teruk.

Sehubungan itu juga, Briged Ezzedine al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, dalam satu kenyataan menjelaskan setiap serangan zionis rakyat Palestin tanpa amaran akan dibalas dengan hukuman mati terhadap salah seorang tebusan.

Ketegangan juga meningkat di hadapan utara Israel di sempadan Lubnan, di mana pejuang Hizbullah dan tentera Israel berbalas tembakan untuk hari kedua.

Israel berhadapan situasi paling cemas akibat serangan darat, udara dan laut yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh kumpulan Hamas.

Angka kematian meningkat kepada 800 di pihak Israel yang melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas sasaran di Gaza, menjadikan jumlah kematian di wilayah dikuasai Hamas itu meningkat kepada 687.

Bebola api berulang kali menerangi kegelapan kota Gaza, pada malam Isnin, ketika letupan berbunyi dan siren kuat berkumandang.

Hamas yang menghantar kira-kira 1,000 pejuang ke bandar-bandar Israel, Sabtu lalu, mendakwa pada Isnin, serangan udara Israel turut membunuh empat tebusan.

Dalam ucapan televisyen Isnin malam, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar menguatkan barisan lain di utara menentang Hizbullah, serta di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Hamas melancarkan lebih banyak roket sehingga Tel Aviv dan Baitulmaqdis diduduki zionis, di mana sistem pertahanan peluru berpandu menembak balas dan siren serangan udara, berbunyi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 10:51 AM