GAMBAR fail menunjukkan pegawai Israel memeriksa roket yang ditembak Hamas dari Semenanjung Gaza pada Perang 2014.  - Agensi
GAMBAR fail menunjukkan pegawai Israel memeriksa roket yang ditembak Hamas dari Semenanjung Gaza pada Perang 2014. - Agensi
Agensi

Baitulmaqdis: Hamas dipercayai menghasilkan sejumlah besar roket jarak dekat yang lebih kuat.

Pendedahan itu muncul beberapa hari selepas pembunuhan seorang pemimpin pergerakan itu yang didakwa dilakukan Israel.

Pegawai di Israel menyatakan kebimbangan senjata baru itu yang dipercayai mampu membawa beratus-ratus kilogram bahan letupan mungkin boleh dilancarkan dari Semenanjung Gaza.

Radio Tentera Israel menggambarkan roket baru itu sangat berbeza berbanding sebarang senjata yang diketahui dari arah Gaza dan berkata, Hamas kini mempunyai puluhan roket.

Pendedahan itu dibuat beberapa hari selepas kematian pemimpin kanan Hamas, Mazen Faqha, 38, yang mati ditembak di Semenanjung Gaza.

Mazen dibebaskan Israel pada 2011 dalam satu program pertukaran tahanan.

Pemimpin Hamas, Khaled Mashaal mendakwa Israel mendalangi serangan itu dan berikrar membalas dendam.

Walaupun senjata itu baru bagi Hamas tetapi kumpulan Hizbullah di Lubnan difahamkan mempunyai roket serupa.

Hamas mengeluarkan senjata sejak tamatnya perang Gaza pada 2014, tempat pergerakan itu melancarkan lebih 4,500 roket ke arah Israel.

Gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih lagi kekal dan pada tahun lalu tiada warga Israel terbunuh dalam serangan dari Gaza.

Hamas sering memperkatakan mengenai simpanan senjatanya yang semakin besar dan tentera Israel percaya kekuatan pergerakan itu sama dengan tahap sebelum perang 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 7:58 AM