PENDUDUK Palestin memeriksa kemusnahan di Masjid Ahmed Yassin yang musnah susulan serangan udara Israel di Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin memeriksa kemusnahan di Masjid Ahmed Yassin yang musnah susulan serangan udara Israel di Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Israel mengenakan kepungan menyeluruh di Semenanjung Gaza, pada Isnin, dan memutuskan bekalan air selepas ia terus mengebom sasaran di wilayah Palestin itu sebagai tindak balas terhadap serangan mengejut Hamas.

Terkejut dengan serangan darat, udara dan laut yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Israel menyatakan sekurang-kurangnya 700 orang di pihaknya terkorban, dan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza yang meningkatkan jumlah kematian di sana kepada sekurang-kurangnya 560 orang.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengancam bahawa "apa yang Hamas akan alami akan menjadi sukar dan dahsyat... Kami akan mengubah Timur Tengah.

"Ini hanya permulaan,"

"Kami akan mengalahkan mereka dengan kekerasan, kekuatan yang sangat besar," katanya.

Kepulan asap daripada letupan dilihat di langit Gaza ketika Hamas terus melancarkan roket sehingga ke Tel Aviv dan Baitulmaqdis, di mana sistem pertahanan peluru berpandu melepaskan tembakan dan siren serangan udara, berbunyi.

Hamas - yang pejuangnya menyerbu ke bandar Israel pada Sabtu lalu, melancarkan serangan dan menjadikan 100 orang sebagai tebusan - mendakwa pada Isnin, bahawa serangan udara Israel di Gaza, sudah membunuh empat daripada tawanan.

Israel berkata, ia sudah memanggil 300,000 tentera simpanan untuk kempen 'Pedang Besi', dan konvoi trak sedang menggerakkan kereta kebal ke selatan, di mana tenteranya mengusir pejuang Hamas terakhir dari bandar yang diperangi.

Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berkata, Israel akan mengenakan "pengepungan sepenuhnya" ke atas enklaf yang sudah lama disekat itu dan menekankan apa maknanya bagi 2.3 juta penduduknya: "Tiada elektrik, tiada makanan, tiada air, tiada gas - semuanya ditutup."

Rakyat Palestin di wilayah miskin itu bersiap sedia untuk apa yang dikhuatiri ramai, akan menjadi serangan darat besar-besaran Israel yang bertujuan untuk mengalahkan Hamas dan membebaskan tebusan.

Ketegangan Timur Tengah memuncak apabila musuh ketat Israel, Iran dan sekutu Lubnan mereka, Hizbullah memuji serangan Hamas, walaupun Tehran menolak sebarang peranan langsung dalam operasi ketenteraan.

Hamas menyeru "pejuang penentangan" di Tebing Barat yang diduduki dan di negara-negara Arab dan Islam untuk menyertai "Operasi Banjir Al-Aqsa ", yang dilancarkan setengah abad selepas perang Arab-Israel 1973.

"Operasi ketenteraan masih diteruskan," Hossam Badran, seorang pegawai Hamas, memberitahu AFP dari Doha, sambil menambah bahawa "pada masa ini tiada peluang untuk berunding mengenai isu tahanan atau apa-apa lagi."

Amerika Syarikat pula berikrar sokongan "utuh" untuk Israel dan berkata, ia akan menghantar amunisi dan aset ketenteraan kepada sekutu utamanya dan mengalihkan kumpulan pengangkut pesawat ke timur Mediterranean.

Israel, yang sudah lama berbangga dengan ketenteraan berteknologi tinggi dan kelebihan perisikan dalam banyak konfliknya, digoncang hingga ke teras oleh serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ia kini berdepan ancaman perang pelbagai barisan hadapan selepas Hizbullah melancarkan peluru berpandu dan peluru dari meriam dari utara, pada Ahad "sebagai solidariti."

Pada hari Isnin, tentera Israel berkata, tenteranya membunuh beberapa "suspek bersenjata" yang menyeberangi sempadan dari Lubnan dan helikopter Israel menyerang sasaran di kawasan itu.

Kumpulan Palestin Jihad Islam kemudian mengaku bertanggungjawab atas penyusupan yang digagalkan dari Lubnan ke Israel.

Hizbullah pula berkata, serangan Israel ke atas menara pemerhati di selatan Lubnan, membunuh seorang anggotanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 8:36 AM