FOTO fail pada 120 November menunjukkan pesakit dan penduduk yang berlindung di Hospital al-Shifa, Gaza. FOTO AFP
FOTO fail pada 120 November menunjukkan pesakit dan penduduk yang berlindung di Hospital al-Shifa, Gaza. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Israel setakat ini gagal membuktikan dakwaan bahawa Hamas mengendalikan pusat arahan atau operasi mereka di bawah Hospital al-Shifa, lapor Al Jazeera.

Felo di Majlis Timur Tengah mengenai Hal Ehwal Global Omar Rahman berkata, dakwaan itu lebih kepada operasi Israel untuk meneruskan serangan di kemudahan awam.

"Israel mengatakan selama berminggu-minggu bahawa terdapat pusat arahan di bawah Hospital al-Shifa dan ia menggunakan dakwaan seperti ini untuk mewajarkan pengeboman infrastruktur awam. Jika ini tidak benar, ia adalah jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

"Di bawah undang-undang antarabangsa, anda tidak mempunyai hak untuk mengebom orang awam jika ada pejuang di dalam. Namun begitu, Israel menyatakan bahawa terdapat pusat perintah yang besar di bawah al-Shifa dan mereka perlu membuktikannya.

"Tetapi tiada apa yang kita lihat setakat ini menunjukkan tiada sebarang bukti jelas mengenainya. Penemuan senjata, jaket dan komputer juga kabur. Itu tidak menunjukkan sebarang bukti keseluruhan pergerakan atau wujud operasi dijalankan," katanya.

Terdahulu, Reuters melaporkan tentera Israel pada Khamis berkata, ia menemukan terowong Hamas dan kenderaan dengan senjata di kompleks Hospital Al Shifa di Gaza.

"Di Hospital Shifa, tentera IDF (Pasukan Pertahanan Israel) menemukan terowong operasi dan kenderaan yang mengandungi sejumlah besar senjata," katanya.

Tentera Israel juga menyiarkan video dan gambar memaparkan apa yang didakwa sebagai terowong dan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 12:17 PM