Dewan bedah sementara di Hospital Al-Shifa. - FOTO AFP
Dewan bedah sementara di Hospital Al-Shifa. - FOTO AFP
AFP

Semenanjung Gaza: Beratus-ratus orang keluar dari Hospital Al-Shifa dengan berjalan kaki, lapor wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

Ia berlaku selepas pengarah hospital berkata tentera Israel mengarahkan hospital itu dikosongkan.

Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata dalam satu kenyataan, 120 yang cedera masih berada di kemudahan itu, bersama dengan bilangan bayi pramatang yang tidak dapat dipastikan jumlahnya.

Pihak kementerian sudah berhubung dengan Palang Merah untuk mengeluarkan semua bayi itu.

Pegawai berkata, beberapa kakitangan perubatan tinggal di hospital itu untuk menjaga mereka yang tidak dapat dipindahkan.

Sejumlah individu yang sakit dan cedera dengan sebahagian daripada mereka kudung - bersama orang awam lain yang tidak mempunyai tempat tinggal, doktor dan jururawat bergerak keluar dari Hospital Al-Shifa menuju ke pinggir laut.

Bagaimanapun, tentera Israel menafikan mengarahkan pemindahan itu.

Tentera Israel mendakwa "menerima permintaan daripada pengarah Hospital Al-Shifa untuk membolehkan warga Gaza yang berada di hospital, yang membuat permintaan untuk berpindah, berbuat demikian".

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 2,300 pesakit, kakitangan dan penduduk Palestin yang dipindahkan berlindung di Al-Shifa sebelum tentera Israel menyerang pada Rabu.

Israel menuduh Hamas melancarkan serangan dari tempat persembunyian di bawah kompleks kesihatan yang luas, dan tenteranya menyerang bangunan itu untuk mendapatkan bukti bagi menyokong dakwaan mereka.

Hamas, secara konsisten menafikan menggunakan hospital sebagai pangkalan pejuang.

Pegawai kesihatan Hamas berkata, berpuluh-puluh pesakit telah meninggal dunia di hospital akibat kekurangan bahan api kerana pertempuran sengit di utara Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 5:49 PM