MOHAMMAD Abu Salmiya ditahan tentera Israel semalam bersama seorang lagi doktor dan dua jururawat. FOTO AFP.
MOHAMMAD Abu Salmiya ditahan tentera Israel semalam bersama seorang lagi doktor dan dua jururawat. FOTO AFP.
AFP

Gaza: Pengarah Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Semenanjung Gaza ditahan tentera Israel semalam, atas dakwaan kemudahan itu digunakan Hamas.

Mohammad Abu Salmiya sebelum ini sering dipetik media antarabangsa dalam melaporkan keadaan di hospital itu sejak serangan balas Israel terhadap Hamas, 7 Oktober lalu.

Tentera Israel yang menyerbu hospital minggu lalu mendakwa pejuang Hamas menggunakan terowong di bawah kompleks untuk melancarkan serangan, namun dinafikan Hamas dan pihak hospital.

Pegawai kesihatan Palestin mengesahkan penahanan Abu Salmiya dan seorang lagi doktor serta dua jururawat.

Tentera Hamas berkata, mereka ditahan untuk disoal siasat berikutan "bukti yang menunjukkan Hospital Shifa, di bawah pengurusan langsungnya, berkhidmat sebagai pusat arahan dan kawalan Hamas."

Dakwa tentera itu lagi, terdapat aktiviti Hamas yang meluas di fasiliti kesihatan terbabit ketika ia masih di bawah pengurusan hospital.

Tambah rejim itu, rangkaian terowong Hamas menggunakan elektrik dan sumber lain daripada hospital.

"Sama ada pengarah akan dikenakan soal siasat lanjut, bergantung kepada sama ada dia didapati 'terbabit dalam aktiviti pengganas' atau tidak," katanya.

Hamas dalam kenyataan mengecam sekeras-kerasnya penahanan Salmiya dan rakan-rakannya, serta menggesa Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan badan antarabangsa lain untuk berusaha ke arah pembebasan segera mereka.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra pula memaklumkan 180 pesakit dan staf masih berada di Al-Shifa.

"Kami gesa pemindahan mereka. Di situ tiada elektrik, mereka tidak lagi mempunyai makanan dan minuman.

"Tentera Israel menembak hospital dan berulang kali melaung di pembesar suara, meminta semua orang keluar dan mengancam untuk mengebom mereka," katanya.

Pada Khamis, Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pihaknya bergabung dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memindahkan 190 pesakit dan peneman mereka serta kakitangan perubatan daripada Al-Shifa ke hospital lain di selatan Gaza.

Pemindahan itu mengambil masa hampir 20 jam kerana kelewatan di pusat pemeriksaan yang memisahkan utara dan selatan Gaza, katanya dalam hantaran di aplikasi X.

Badan itu turut memaklumkan tiga paramediknya ditahan dengan dua daripadanya sudah dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 10:51 AM